Artikel Terkini

10 Komoditi Yang Paling Aktif Didagangkan Dalam Dunia Pelaburan


Komoditi merupakan satu pelaburan yang penting selain ekuiti. Kebiasaannya, pelabur yang mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka akan melabur ke dalam komoditi sebagai salah satu pegangang pelaburan mereka bagi menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Jom kita lihat senarai komoditi popular yang menjadi pilihan para pelabur untuk dijadikan instrumen pelaburan mereka.

1. Brent Crude Oil (Minyak Mentah Brent)

Minyak mentah adalah merupakan komoditi yang paling popular di kalangan para pelabur, dan Brent Crude Oil mewakili 2/3 jumlah dagangan minyak mentah dunia.

Kebanyakan minyak ini dilombong di kawasan North Sea di antara pulau Shetland dan Norway. Harga minyak mentah ini ditentukan oleh faktor ekonomi dunia yang mana jika keadaan ekonomi dunia stabil, secara automatiknya permintaan untuk minyak mentah akan meningkat.

Namun apabila pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia dan negara mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka permintaan terhadap minyak jatuh mendadak dan harga minyak mentah merudum.

2. Steel (Besi)

Besi merupakan logam yang penting dalam industri pembinaan, infrastruktur dan juga perkilangan. Kelebihan yang terdapat pada besi ini adalah ia mempunyai sifat yang keras dan boleh didapati pada harga yang murah.

Harga untuk komoditi ini juga berkait rapat dengan keadaan ekonomi dunia. Selain daripada itu, ia turut dipengaruhi oleh keadaan geopolitik seperti hubungan perdagangan di antara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China dan juga Kesatuan Eropah.

3. WTI Crude Oil – (Minyak Mentah WTI)

Minyak mentah kedua yang digunakan dalam perdagangan komoditi minyak dunia. Minyak mentah ini dilombong di kawasan Texas, Louisiana dan North Dakota.

Faktor yang menetukan harga minyak mentah ini tidak jauh berbeza dengan minyak mentah Brent Oil dan harga minyak mentah ini murah sedikit berbanding dengan Brent Oil disebabkan ianya dilombong di kawasan darat.

4. Soy Beans (Kacang Soya)

Merupakan sumber protein yang murah berada di pasaran selain daripada telur. Negara pengeluar utama bagi kacang soya adalah Amerika Syarikat.

Ianya digunakan secara meluas di dalam sektor makanan, pertanian dan turut digunakan dalam penghasilan biodiesel. Harga komoditi ini ditentukan oleh permintaan terhadap industri perternakan, biodiesel dan juga keadaan cuaca negara pengeluar yang mempengaruhi pengeluaran tanaman tersebut.

5. Iron Ore (Bijih Besi)

Bahan utama dalam mengahasilkan besi. Sama seperti besi, bijih besi ini digunakan di dalam industri pembinaan dan juga perkilangan.

Mengikut sejarah perdagangan komoditi ini, permintaan dan juga penghasilan bijih besi di pasaran sentiasa berada dalam keadaan yang stabil dan menyebabkan harganya turut stabil.

Faktor yang mempengaruhi harga komoditi ini adalah sama seperti harga pasaran besi.

6. Corn (Jagung)

Sumber makanan yang penting dalam penghasilan makanan haiwan ternakan, tepung, etanol dan juga minuman kordial. Sama seperti soya, jagung juga turut dijadikan sebagai minyak biodiesel untuk kenderaan.

Harga pasaran komoditi ini berkait rapat dengan keadaan cuaca dan juga bantuan subsidi kerajaan Amerika Syarikat kepada petani mereka, memandangkan Amerika Syarikat merupakan salah satu pengeluar jagung terbesar di dunia.

7. Gold (Emas)

Logam yang paling berharga sejak berkurun lama dalam ekonomi dunia. Kebiasaanya emas ini dijadikan barangan perhiasan bagi kaum wanita dan  turut dijadikan aset pelaburan untuk melawan kadar inflasi.

Nilai emas adalah berkadar songsang dengan nilai Dolar Amerika Syarikat menyebabkan ianya komoditi berharga ketika berlakunya krisis ekonomi.

8. Copper (Kuprum)

Unsur penting yang digunakan dalam industri elektrik dan elektronik kerana kelebihan yang dimiliki oleh unsur ini daripada segi konduktiviti yang tinggi.

Oleh kerana kuprum ini penting dalam industri elektronik, harga pasaran komoditi ini ditentukan oleh faktor permintaan dan pengeluaran barangan yang berasakan industri elektronik dunia yang dipelopori oleh negara-negaa seperti China, Jepun, Korea, Eropah dan juga Amerika Syarikat.

9. Aluminium

Logam yang banyak digunakan di dalam industri penerbangan dan juga automotif. Campuran logam lain bersama aluminium menghaslkan aloi yang kuat untuk kedua-dua industri ini.

Harga komoditi ini ditentukan oleh pasaran dari China kerana ia merupakan negara pengeluar aluminium. Selain itu juga, harga minyak mentah dan tarif elektrik turut mempengaruhi harga logam ini kerana proses perlombongan aluminium bergantung kepadanya.

10. Silver (Perak)

Perak dan emas boleh dikatakan seperti adik-beradik. Harga perak berkadar terus dengan harga emas, kalau harga emas naik harga perak pun naik sekali.

Perak kebanyakannya digunakan di dalam industri hiasan yang mana logam ini merupakan logam yang kalis karat. Selain daripada itu, ada juga yang menggunakan perak sebagai pelaburan untuk melawan kadar inflasi.

Sumber Rujukan: https://www.ig.com/en/trading-opportunities/top-10-most-traded-commodities-180905

Pelaburan Saham vs Pelaburan Komoditi

Ramai di kalangan kita yang bermula dengan pelaburan saham, sebelum mengenali dunia pelaburan komoditi. Nak tahu persamaan dan perbezaan di antara kedua-duanya? Jemput baca Pelaburan Saham (Ekuiti) VS Komoditi, Ambil Tahu 12 Perkara Ini.



Source link