Artikel Terkini

11.2 juta pekerjaan di Asia Pasifik berisiko terjejas, syarikat penerbangan tutup – IATA



KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 25 juta pekerjaan di peringkat global termasuk 11.2 juta di rantau Asia Pasifik berisiko hilang susulan kemerosotan permintaan mendadak bagi perjalanan udara akibat krisis penularan COVID-19.

Ketika memberi amaran itu hari ini, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata syarikat-syarikat penerbangan turut meminta kerajaan masing-masing menyalurkan bantuan kewangan segera untuk membolehkan perniagaan kekal bertahan dan mampu pulih selepas pandemik itu dapat dibendung.

Malah, IATA secara khususnya turut menggesa supaya bantuan dalam bentuk sokongan secara langsung disalurkan selain pinjaman, jaminan pembiayaan dan sokongan terhadap pasaran bon korporat serta pengecualian cukai.

“Tiada perkataan yang sesuai untuk menggambarkan betapa meruncingnya impak COVID-19 terhadap industri penerbangan. Malah, kesukaran ekonomi itu akan dikongsi oleh 25 juta pekerja yang bergantung hidup dengan syarikat penerbangan.

“Ia sepatutnya menjadi perniagaan yang berdaya maju agar dapat kembali pulih selepas COVID-19 dapat dibendung. Bantuan terhadap syarikat penerbangan adalah sesuatu yang kritikal pada masa ini,” kata Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selain bantuan kewangan utama, industri itu juga perlu melakukan perancangan dan penyelarasan secara terperinci bagi memastikan syarikat-syarikat penerbangan benar-benar bersedia untuk beroperasi apabila COVID-19 itu dapat dikekang.

“Kita tidak pernah menjangkakan industri ini akan mengalami impak sedemikian besar. Kita juga tiada pengalaman untuk membantunya bangkit semula. Keadaan akan menjadi sukar. Dari segi praktikalnya, kita memerlukan pelan luar jangka untuk tujuan lesen dan pensijlan yang mungkin telah tamat,” katanya.

Industri juga perlu melaksanakan operasi dan proses bagi mengelak kemungkinan jangkitan semula virus itu menerusi kes yang diimport.

“Kita juga perlu mengenal pasti pendekatan yang berkesan untuk menguruskan sekatan perjalanan yang perlu ditarik balik sebelum dapat menyambung semula kerja-kerja. Ini adalah antara beberapa cabaran utama yang menanti kita. Bagi memastikan kejayaannya, pihak industri dan kerajaan perlukan pelarasan dan saling bekerjsama,” kata de Juniac.

Di peringkat global misalnya, kehidupan 65.5 juta orang bergantung dengan industri penerbangan, termasuk sektor seperti pengembaraan dan pelancongan dan daripada jumlah itu turut membabitkan 2.7 juta pekerjaan dalam syarikat penerbangan.

Dalam keadaan sekatan perjalanan serius selama tiga bulan, penyelidikan IATA menunjukkan bahawa kira-kira 25 juta pekerjaan bidang penerbangan dan sektor berkaitannya di seluruh dunia kini berisiko selain Asia Pasifik manakala 5.6 juta pekerjaan di Eropah, Amerika Selatan (2.9 juta), masing-masing 2 juta di Amerika Utara dan Afrika serta 0.9 juta di Timur Tengah.

Malah, dalah senario sama, syarikat-syarikat penerbangan dijangka menyaksikan hasil penumpang bagi tahun penuh merosot sebanyak US$252 bilion (US$1 = RM4.34) (- 44 peratus) pada 2020 berbanding 2019.

Menurut badan global itu, tempoh suku kedua (2020) adalah yang paling kritikal apabila permintaan merosot 70 peratus yang merupakan paras terburuknya selain kerugian tunai sebanyak US$61 bilion.

IATA yang mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan merangkumi 82 peratus aliran udara global, turut menumpukan aspek pendekatan komprehensif bagi pemulihan industri itu selepas dibenarkan untuk berbuat demikian oleh pihak kerajaan serta pihak kesihatan umum.

Malah, pendekatan bersifat pelbagai pihak berkepentingan juga dilihat sebagai amat penting, katanya.

“Kita tidak menjangkakan dapat mengembangkan semula industri sama yang terpaksa ditutup beberapa minggu lepas. (Namun) syarikat penerbangan ini masih diperlukan untuk menghubungkan dunia dan kita akan melaksanakannya menerusi pelbagai model perniagaan.

“Proses industri itu adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan. Kita perlu melakukannya secara pantas dan tidak mahu mengulangi kesilapan selepas kejadian 11 September, 2001 apabila banyak proses baharu dilaksanakan tanpa penyelarasan.

“Akibatnya, kita mengalami banyak masalah yang sehingga kini masih dalam proses diselesaikan. Sebanyak 25 juta orang yang pekerjaan mereka berisiko akibat krisis sekarang, akan bergantung kepada sejauh mana industri ini dapat dihidupkan semula secara lebih berkesan,” kata de Juniac.

— BERNAMA





Source link

Related Posts