Uncategorized

13 Transformasi Kampung Bharu Ke Bandar Moden Yang Perlu Anda Tahu


Berdasarkan
statistik yang dikeluarkan PKB, 99.9% pewaris dan pemilik tanah Kampung Bharu
adalah warganegara Malaysia.

75.1% berada dalam
lingkungan melebihi 50 tahun dan 52.6% pewaris atau pemilik tanah adalah
golongan wanita.

Apa yang
mengejutkan adalah 88% penduduk Kampung Bharu bersetuju tanah lot mereka
dibangunkan semula oleh kerajaan berdasarkan tinjauan kaji selidik pada
November 2018 sehingga Februari 2019.

Rekod terkini juga
menunjukkan terdapat 5,382 pewaris dan pemilik tanah di Kampung Bharu setakat
ini.

“Tahukah anda, transformasi Kampung Bharu akan memakan
masa selama 20 tahun.”

Apa yang pasti,
pewaris dan pemilik tanah telah mulai lelah selepas sekian lama drama demi
drama bagi pembangunan semula tanah Kampung Bharu ini berlaku.

Sungguhpun banyak cakap-cakap orang kita yang mengatakan pembangunan ini bakal merugikan orang Melayu khususnya pewaris dan pemilik geran tanah di Kampung Bharu, tetapi hakikatnya Kampung Bharu memerlukan pembangunan segera!

Di antara sebab utama kenapa Kampung Bharu wajar dibangunkan semula adalah untuk:

  1. Memberi peluang kepada lebih ramai orang Melayu memiliki hartanah di pusat bandar Kuala Lumpur.
  2. Merealisasikan hasrat asal pembukaan Kampung Bharu sebagai penempatan masyarakat Melayu dalam lokasi primer di ibu kota Kuala Lumpur.
  3. Memelihara dan memulihara warisan, seni budaya Melayu.
  4. Menambah jumlah penduduk komuniti Melayu.

Jom kita tengok 13 transformasi Kampung Bharu ke bandar moden yang perlu anda tahu.

1. Ruang Awam Jalanan Raja Muda Musa

Laluan sedia ada dipenuhi lubang dan sesak dengan gerai-gerai haram dan tidak berlesen di sepanjang jalan tersebut, dan ianya menjadi faktor utama kesesakan lalu lintas.

Transformasi yang
bakal dilaksanakan adalah menaiktaraf laluan tersebut dengan konkrit berkualiti
tinggi, dan membina laluan kenderaan bebas daripada halangan pejalan kaki.

2. Padang Kampong Pindah

Penjenamaan semula
padang tersebut bakal dilakukan dengan akses kemudahan seperti ruang
rekreasi,  200 parkir kereta, 150 parkir
berbumbung dan ruang niaga.

3. Food Street

Kebanyakan gerai makanan atau warung tidak teratur, menjadi punca kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan di Kampung Bharu.

Inisiatif yang
bakal diambil adalah menyusun gerai makanan tersebut secara berunit di
sepanjang Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Raja Alang.

4. Unit Kediaman

Ketika ini, terdapat kurang lebih 4,500 unit kediaman di seluruh Kampung Bharu. Melalui transformasi ini, Kerajaan merancang untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 45,000 unit kediaman di Kampung Bharu.

50% kediaman adalah
jenis mampu milik pada harga di bawah RM300,000. 30% lagi pada harga RM300,000
– RM500,000, 15% berharga RM500,000 – RM750,000 dan baki 5% mengikut harga
pasaran hartanah semasa.

5. Ruang Perniagaan

Buat masa ini hanya terdapat kira-kira 1 juta kaki persegi ruang perniagaan di seluruh Kampung Bharu.

Menerusi
transformasi ini, lebih 8 juta kaki persegi ruang perniagaan bakal dibina
dengan 10% daripadanya terdiri daripada ruang komersil mampu milik.

6. Pusat Kesenian & Kebudayaan Melayu

Hari ini, Kampung
Bharu tidak memiliki sebarang pusat kesenian & kebudayaan Melayu yang
mempunyai pentas bagi persembahan dan pembelajaran seni kebudayaan Melayu.

Kelak, pentas budaya dan outdoor cinema akan dibina bagi persembahan dan pembelajaran seni tarian Melayu seperti zapin, inang, gamelan, silat dan sebagainya.

7. Kompleks Warisan

Hampir setiap negeri di Malaysia memiliki sekurang-kurangnya satu kompleks warisan bagi tujuan mempromosikan barang hasil kraftangan tempatan kepada pelancong luar.

Menerusi
transformasi ini, Kampung Bharu bakal mempunyai kompleks warisannya yang
tersendiri dalam memasarkan hasil kraftangan dan seni masyarakat tempatan.

8. Taman Warisan Melayu

Di antara pembangunan lain yang bakal berlaku adalah pembinaan Taman Warisan Melayu sebagai ruang rekreasi dan riadah yang turut menempatkan replika rumah-rumah warisan Melayu di Kampung Bharu.

9. Sungai

Sistem saliran air sungai di Kampung Bharu akan direka bentuk semula dengan aliran air terbuka dengan ruang landskap awam seperti bandar-bandar mega seperti yang terdapat di Venice, Itali.

10. Menara Mercu Tanda

Bangunan setinggi 93 tingkat dengan reka bentuk lipatan serta sudut geometri samping dan tengkolok tradisi Melayu akan dibina sebagai mercu tanda terbaru di Kampung Bharu kelak.

11. Saloma Link

Merupakan laluan yang bakal mempercepatkan tempoh perjalanan dari Kampung Baru ke KLCC daripada 40 minit kepada 15 minit sahaja, yang turut dilengkapi laluan berbasikal.

Selain itu,
landskap di Saloma Link ini akan menjadi tarikan ikonik buat pelancong dengan
ruang swafoto berlatarbelakangkan KLCC dan pencahayaan skrin LED berbumbung di
sepanjang Saloma Link.

12. Jaringan Aksesibiliti

Buat masa ini,
untuk masuk ke Kampung Baru, anda perlu menggunakan Jalan Sultan Ismail dan
Jalan Tun Razak.

Selepas ini,
terdapat tambahan dua lagi laluan bagi akses ke Kampung Baru iaitu menerusi
AKLEH dan Lorong Raja Muda Abdul Aziz.

13. Struktur Jalan Dalaman Kampung Bharu

Jalan sedia ada di Kampung Bharu adalah sempit dan tidak mengikut piawaian, bahkan lebar jalan dalaman adalah kira-kira 20 kaki ke 30 kaki sahaja.

Penstrukturan semula jalan dalaman akan menaiktaraf lebar jalan dalaman sekurang-kurangnya 50 kaki  dan menaiktaraf jalan utama seperti Jalan Raja Abdullah, Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Raja Uda.

Kampung Bharu Dah Berusia Lebih Seabad

Diam tak diam, usia Kampung Bharu telah memasuki 119 tahun. Kemelut demi kemelut berlaku bagi pembangunan Kampung Bharu.

Kampung Bharu akan kekal menjadi lokasi paling ideal untuk sebarang pelaburan hartanah kerana lokasinya yang kaya dengan booster hartanah, selain daripada faktor tanah warisan.

Semoga transformasi
pembangunan ini mampu dilaksanakan sekaligus meningkatkan pemilikan hartanah di
kalangan Bumiputera di Malaysia bukan sahaja dalam aspek hartanah
kediaman,  tetapi juga hartanah komersil
dan hartanah perniagaan.

Sumber Rujukan: Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu

Ditulis oleh Mehmed Aezhad, beliau merupakan seorang Digital Marketing Specialist yang berpengalaman luas dalam bidang pemasaran digital hartanah.

Komen

komen





Source link