Uncategorized

15,000 peserta sertai Marvel Run julung kali diadakan di Malaysia



PUTRAJAYA: Marvel Run yang julung kali diadakan di Malaysia bermula malam tadi di Dataran Putrajaya dengan disertai 15,000 peserta.

Acara itu menandakan kerjasama pertama antara Tourism Malaysia dan jenama Marvel selaras dengan kempen Visit Truly Asia Malaysia 2020 (VM2020).

Marvel Run menampilkan empat kategori larian iaitu 800 meter, larian kanak-kanak 1.2 km, 5 km (tidak kompetif) dan 10 kilometer.

Peserta larian 10 kilometer telah dilepaskan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof di sini malam tadi.

“Kerjasama itu akan menyaksikan penyebaran bahan publisiti VM2020 dalam pelbagai platform oleh penganjur, termasuk Disney Digital Network,” katanya.

Musa berkata Tourism Malaysia gembira dapat bekerjasama dengan Marvel Run 2019, yang menyerlahkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan, serta hab hiburan.

Beliau berkata acara itu juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan promosi VM2020, yang bertujuan untuk menarik 30 juta pelancong antarabangsa dan menjana RM100 bilion hasil daripada pelancongan.

Musa berkata Tourism Malaysia akan terus bekerjasama dengan penganjur swasta untuk membawa acara antarabangsa ke Malaysia sebagai sebahagian daripada strategi pemasarannya.

Bertemakan empat adiwara terkenal Marvel iaitu Captain America, Black Panther, Thor dan Captain Marvel, acara itu menarik penyertaan pelari dari semua peringkat umur dari Malaysia, serta peserta antarabangsa termasuk dari Australia, Jerman, United Kingdom, Ecuador dan Singapura.

— BERNAMA





Source link