Artikel Terkini

3 Kepentingan Zakat Yang Perlu Kita Tahu


Dalam menangani wabak Covid-19, kita dapat lihat banyak pihak tampil untuk menghulurkan bantuan mengikut kapasiti dan kepakaran masing-masing. Daripada segi bantuan kewangan, institusi zakat turut memainkan peranan untuk membantu dari segi ekonomi kepada golongan yang miskin dan memerlukan.

Golongan Non-Muslim turut menerima bantuan yang disediakan oleh pihak zakat dengan kelayakan yang telah ditetapkan menerusi Zakat Musaadah. Menerusi bantuan ini, zakat dapat disalurkan kepada seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan dan terkesan dengan situasi wabak Covid-19 yang melanda negara sekarang ini.

Zakat memainkan peranan penting dalam ekonomi Islam, dan ianya merupakan salah satu daripada rukun Islam.

Menurut Muhammad Umer Chapra yang merupakan seorang ahli ekonomi Islam, zakat bermaksud tanggungjawab kewangan oleh seorang Muslim untuk mengeluarkan sebahagian daripada hasil bersih kekayaannya atau pengeluaran pertaniannya, jika ia melebihi daripada nisab zakat yang ditetapkan.

Apabila sesorang Muslim itu menunaikan zakat, maka ia telah menyucikan hartanya dan dapat membantu golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik.

Kepentingan zakat dalam Islam dapat dirangkumkan kepada 3 bahagian iaitu moral, sosial dan ekonomi:

1. Moral

Daripada segi moral, zakat dapat menyuburkan kesedaran dalam menunaikan tanggungjawab moral golongan yang kaya terhadap golongan yang miskin dan kurang bernasib baik dengan mengikis sifat tamak dan mementingkan diri sendiri. Dengan ini, zakat dapat mewujudkan masyarakat yang prihatin, penyayang, adil dan saksama.

Secara ringkasnya, zakat dapat membangunkan dan menguatkan kualiti moral seseorang Muslim dengan menjauhkan diri daripada sifat tamak dan mementingkan diri sendiri melalui sifat simpati dan peri kemanusiaan.

2. Sosial

Objektif utama zakat adalah untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat. Dengan membasmi kemiskinan, masyarakat dapat terhindar daripada banyak gejala jenayah seperti kecurian, ragut dan sebagainya.

Golongan yang kurang bernasib baik ini juga tidak perlu hidup dengan meminta-minta, kerana zakat dapat menegakkan kepentingan dan hak golongan ini.

Dengan ini, zakat berupaya untuk mendekatkan jurang perbezaan sosial yang ketara di antara golongan kaya dan golongan miskin di dalam masyarakat dan mewujudkan semangat persaudaraan sesama umat Islam.

3. Ekonomi

Daripada segi ekonomi Islam, zakat dapat mengelakkan daripada pengumpulan harta yang tidak adil di dalam masyarakat. Hal ini dapat dielakkan dengan memastikan harta dan kekayaan diagihkan secara adil.

Oleh itu, pusat zakat bertindak sebagai ejen atau institusi yang mengagihkan harta dan kekayaan untuk diagihkan secara adil dalam ekonomi.

Sebagai contoh, zakat dapat menyediakan modal untuk golongan asnaf memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Secara tidak langsung, zakat dapat membantu dalam membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada mereka yang memerlukan agar dapat berdikari, dan menyumbang semula kepada masyarakat.

Secara keseluruhannya, kita dapat lihat kepentingan dan kebaikan zakat yang telah disyariatkan dalam agama Islam dengan 3 kepentingan yang disebutkan di atas.

Ditulis oleh Herna Liza Binti A Hanim dan beliau boleh dihubungi di [email protected]

Baca juga:



Source link