Artikel Terkini

4 Fasa Pengurusan Harta, Adakah Kita Sudah Membuatnya?


Ramai di kalangan kita sibuk mencari harta, sehingga kita terlupa aspek lain dalam bab pengurusan harta. Dan secara asasnya, pengurusan harta terbahagi kepada 3 fasa penting iaitu fasa pengumpulan, fasa perlindungan dan juga fasa pengagihan.

Fasa ke-4 iaitu fasa tenang sekiranya ia sudah diuruskan dengan baik.

1. Fasa Pengumpulan

Fasa ini fasa awal kehidupan dan ianya bermula sebaik saja kita melangkah ke alam pekerjaan. Jika anak muda yang mengikut hawa nafsu dan membeli kenderaan mahal atau membuat pembiayaan tinggi ketika awal bekerja, ia serba sedikit menyekat proses pengumpulan wang tunai dan aset.

Tahap baru kemiskinan adalah RM2,208 dan golongan B40 berada di dalam kelompok ini. Jadi, kita perlukan perancangan yang bijak dan cari pendapatan tambahan bagi menampung kehidupan.

Akaun simpanan dan pelaburan perlu diwujudkan sejak daripada kita mula belajar lagi. Mula dengan ASB dan Tabung Haji, kemudian kita tingkatkan lagi ilmu dengan melabur ke dalam unit trust, saham dan juga hartanah.

Lagi awal kita mula lagi bagus, kerana kita akan menikmati keuntungan dengan cara compounding.

Baca: Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang ‘Compounding Interest’

2. Fasa Perlindungan

Apabila kita sudah bekerja kuat dan mengerah tenaga mengumpul kekayaan, kita perlu fikir tentang kemungkinan yang tidak diduga seperti kemalangan, sakit kritikal, cacat kekal mahu pun kematian.

Pada usia 30-an, ramai yang sudah berkeluarga, mempunyai aset dan hutang yang tinggi untuk dibayar. Sekiranya terjadi apa-apa, ia akan menggangu keharmonian rumahtangga.

Langkah yang perlu diambil baik lelaki mahu pun wanita adalah dengan mengambil Takaful bagi melindungi diri dan kekayaan sedia ada.

Sekiranya tiada takaful, ia sedikit sebanyak menghakis wang tunai atau kita terpaksa menjual aset yang kita ada. Jumlah yang paling minimum kita perlu ada perlindungan adalah sebanyak RM100,000 atau berdasarkan gaji kita iaitu:

Gaji bulanan x 12 x 10 tahun.

Sekiranya kita bergaji RM3,000 sebulan – maka kita perlu ada perlindungan sebanyak:

RM3,000 x 12 x 10 tahun = RM360,000

Penting bagi ketua keluarga yang bertanggungjawab menyediakan keperluan ini buat waris ketika ketiadaan mereka nanti.

3. Fasa Pengagihan

Ketika berusia 40 tahun dan ke atas, kita boleh fikir untuk ada dokumen wasiat sebagai persediaan untuk memudahkan waris di atas apa yang kita telah bina sepanjang tempoh kita mengumpul kekayaan tadi.

Disebabkan kurangnya penekanan terhadap kepentingan wasiat, akibatnya RM70 bilion harta rakyat Malaysia kena beku. Cuba bayangkan sekiranya anak-anak dan cucu-cucu kita dapat merasai hasil titik peluh kita selama ini?

4. Fasa Tenang

Fasa ini pula bagi mereka yang telah bersara dan tiada masalah kewangan. Atau ada yang dapat durian runtuh hasil daripada simpanan KWSP atau gratuiti serta pencen.

Ketika fasa ini, kita lebih berasa tenang memandangkan semua hutang telah habis dibayar dan simpanan yang ada cukup untuk menampung duit belanja apabila kita bersara nanti.

Semoga kita dapat fokus beribadah apabila tumpuan kita bukan lagi terhadap perkara duniawi. Namun ketika fasa ini jugalah, kita bakal diuji dengan masalah kesihatan.

Akhir kata, kita hanya mampu nak merancang dan semoga dipermudahkan semua urusan.

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan (pelaburan, takaful dan wasiat) di institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu.

Iklan


Iklan



Source link