Uncategorized

4,000 ulat berlegar di ibu kota!

4,000 ulat berlegar di ibu kota! 1


KUALA LUMPUR: Pada pagi Ahad, banyak ‘ulat’ yang berlegar di ibu kota.

‘Ulat’ yang dimaksudkan sebenarnya ialah 4,000 ulat buku yang mengambil bahagian dalam acara Larian Ulat Buku u-Pustaka 2019 di Dataran Merdeka.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Datuk Mohamaddin Ketapi yang hadir untuk melancarkan acara tersebut berkata, ia bertujuan memberikan pendedahan dan kesedaran secara meluas kepada rakyat mengenai perkhidmatan u-pustaka selain meningkatkan budaya membaca yang memerlukan gaya hidup sihat dan minda yang cerdas.

“Acara ini menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk membaca dan ia merupakan program yang baik untuk orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan larian itu di Dataran Merdeka pada Ahad.

Rata-rata ulat buku yang hadir memang teruja dan sempat juga berkongsi tips mereka utk memupuk minat membaca dalam kalangan orang ramai.

“Yang penting, ibu bapa perlu rajin membaca dan perlu menerapkan semangat membaca kepada anak-anak dengan menyokong minat mereka.

“Ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak mereka,” kata seorang peserta, Shaifuna Amri Zahari.

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi peserta yang hadir, Datin Noraida Saludin.

“Apabila anak-anak saya masih kecil, mereka memang minat dengan bola sepak.

“Kita pun membeli komik, majalah dan buku yang mempunyai kaitan dengan bola sepak kepada mereka.

“Dan minat mereka untuk membaca akan dapat dipupuk pada akhirnya,” kata Noraida.

Mohamaddin Ketapi (tengah) meluangkan masa menyertai larian sejauh satu kilometer sempena Larian Ulat Buku U-Pustaka 2019 di Dataran Merdeka pada Ahad. - BERNAMA
Selain itu, seorang peserta, Myrzela Sabtu pula berpendapat pemberian hadiah dalam tuk buku mampu memupuk sikap suka membaca itu.

“Saya selalu menghadiahkan buku kepada pekerja saya yang baru masuk bekerja atau mereka yang hendak meninggalkan syarikat kita.

“Ia antara cara yang saya rasa berkesan untuk meningkatkan tabiat membaca ini,” ujar Myrzela.

Berbalik kepada istilah ‘ulat buku’ pula.

Ulat buku merupakan simpulan bahasa yang membawa maksud orang yang gemar membaca.

Namun, perkataan ‘ulat’ merupakan sesuatu yang dilabel negatif.

Oleh itu, mengapa Perpustakaan Negara bersetuju perkataan itu dilabelkan kepada pembaca buku?

Astro AWANI sempat berjumpa dengan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Nafisah Ahmad dan beliau berkata perkataan ulat dalam bidalan itu bukan bermaksud serangga.

“Ulat itu bukannya binatang ataupun serangga tetapi bermaksud mengulati di mana ulat buku tersebut mengulati diri dengan pembacaan.

“Ia adalah simpulan bahasa yang klasik dan dalam Bahasa Inggeris, ia adalah ‘bookworm‘.

“Istilah ini dilihat sebagai sesuatu yang signifikan untuk menggambarkan seseorang itu suka membaca walau di mana beliau berada,” jelas Nafisah.





Source link