Artikel Terkini

5 cara elak terlebih makan semasa Aidilfitri


PERAYAAN Aidilfitri tentunya tidak lengkap dengan sajian pelbagai hidangan enak, apatah lagi selepas berpuasa selama sebulan.

Bagi sesetengah orang, inilah peluang untuk menikmati makanan sepuasnya.

Namun, penting untuk kita beringat ketika menjamu selera kerana tahap kesihatan yang dicapai selama sebulan berpuasa tidak wajar digadaikan begitu sahaja.

Mengawal selera makan semasa hari raya tidak mudah, tetapi boleh dilakukan.

Tapi, bagaimana caranya?

Rendang, juadah kegemaran ramai di Aidilfitri.

Mulakan dengan buah atau salad

Sebelum ambil apa-apa makanan, disarankan anda mengambil buah-buahan atau salad terlebih dahulu.

Nutrien dan serat yang ada pada buah dan sayuran akan membuatkan anda berasa kenyang dan mungkin anda tidak akan makan dalam kuantiti yang banyak.

Elak minuman manis

Elakkan minuman manis, apatah lagi minuman bergas.

Sebaiknya pilih untuk minum air kosong kerana ia bukan sahaja lebih sihat malah lebih berkesan menghilangkan rasa dahaga.

‘Jauhi’ makanan

Selesai sahaja makan, tinggalkan meja makan atau jauhkan diri anda daripada melihat makanan.

Jika di rumah, letakkan makanan di dapur dan elakkan masuk ke dapur jika tiada keperluan mendesak.

Secara psikologi, apabila asyik melihat makanan, anda akan rasa mahu makan biarpun tidak lapar.

Kawal saiz

Kawal saiz hidangan anda. Tidak salah untuk rasa semua yang dihidangkan, tetapi ambil dalam jumlah sedikit, cukup untuk menghilangkan rasa ‘teringin’.

Ingat, kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

Senaman ringan

Ini mungkin sukar dibuat terutama sekali tahun ini ketika menyambut Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jika anda mempunyai kemudahan peralatan senaman di rumah, lakukan senaman ringan bersama ahli keluarga.

Atau jika anda mempunyai halaman rumah yang luas, ajak ibu bapa atau adik beradik untuk ambil angin di sekitar kawasan.





Source link