Uncategorized

5 sebab graduan wajib beli rumah pertama sejurus dapat kerja

5 sebab graduan wajib beli rumah pertama sejurus dapat kerja 1


Mesti ingatan korang masih segar bila nama korang dipanggil, untuk terima segulung kertas yang mengambil masa korang 3 tahun (atau lebih).

Ini bermakna, korang akan mula melangkah ke alam baru. Ia adalah alam pekerjaan.

GH Masterclass

Dan ramai yang dah pelan nak beli macam-macam dengan duit gaji nanti.

Ada yang nak beli kereta, nak beli motor besar, nak shopping, nak berjalan ke luar negara, atau pelbagai lagi perkara yang dah lama korang idamkan.

Tapi, berapa ramai yang pasang niat nak beli rumah?

Mungkin artikel kali ini boleh ubah mindset korang, daripada bazirkan duit gaji (yang susah-payah korang nak dapat) kat benda yang tak patut.

Mari kita ikuti perkongsian Tuan Najib Mohamed ini.

Selalu saya berpesan kat adik-adik saya:

“Bila dah dapat kerja nanti, beli rumah dulu. Jadikan tapak (base), dan kurangkan perbelanjaan yang tak berfaedah.”

Dulu-dulu, tak ada orang yang bagi nasihat penting macam ini kat saya. Pandai-pandai cari jalan sendiri. Saya mula melabur kat pelaburan hartanah sewaktu umur 24 tahun.

Kalau macam saya ni dah dikira lambat, bayangkan yang dah berumur lebih dari saya. Dengan pelbagai komitmen, mereka perlu bekerja keras. Dan yang pasti, perjalanan pelaburan mereka pasti lebih sukar.

Tapi, lebih baik bermula daripada tak buat apa-apa tindakan. Selagi ada hayat kat kandung badan, selagi itu kita boleh ubah diri kita ke arah yang lebih baik.

Sebab itu, saya sarankan beli hartanah masa umur muda. Lagi bagus. Masa ini, tak banyak lagi komitmen. Jadi, cukup mudah nak uruskan hal ini.

Cuba bayangkan. Masa kawan-kawan korang sibuk tayang Ducati atau Honda City, korang dah ada 2, 3, atau lebih hartanah dalam portfolio korang.

Mana lagi gempak dan best?

Bila korang dah mula bekerja dan ada pendapatan tetap, dah boleh-boleh mula pelan untuk beli hartanah.

Simpan duit gaji tiap-tiap bulan, dan amalkan disiplin yang tinggi bila buat benda ini. In Shaa Allah, korang akan dapat rumah pertama in no time.

Kalau korang beli rumah masa masih muda, ansuran bulanan yang korang kena bayar akan jadi lebih rendah, berbanding beli rumah bila dah berumur nanti.

Tindakan ini boleh lanjutkan tempoh bayaran pinjaman.

Dan makin panjang tempoh pinjaman, makin sikit bayaran ansuran bulanan yang kita kena bayar.

Banyak bank yang bagi tempoh pinjaman sehingga umur kita 65 tahun, dan tempoh maksimum bagi setiap pinjaman adalah selama 35 tahun.

Kalau umur bawah 30 tahun, korang boleh menikmati tempoh pinjaman yang panjang dan tak bagi beban yang berat sangat kat korang.

Apa jadi kat orang yang umur 40, yang baru nak beli rumah? Tempoh pinjaman ini akan jadi lebih pendek (selama 25 tahun saja), dan ini faktor utama yang jadikan bayaran bulanan agak tinggi berbanding biasa.

Tak lupa juga. Insuran korang untuk perlindungan hartanah juga jauh lebih rendah. Tak kira sama ada korang ambil polisi MRTA/T atau MLTA/T.

Bila dah mula bekerja, cepat-cepat belajar menyimpan dan cantikkan akaun bank korang.

Dah cukup duit? Cari rumah untuk dibuat sebagai pelaburan.

Kenapa saya cakap sebagai ‘pelaburan’?

Sebab rumah ini bukan korang yang bayar 100%. Ada orang lain yang tolong bayarkan. Jadi, komitmen korang boleh jadi bersih balik. Dan lebih baik lagi, korang dapat kaut untung.

Kalau masih bujang, buat pelan rancangan secara teliti. Korang belum ada lagi komitmen besar seperti isteri dan anak-anak. Korang boleh fokus 100% untuk simpan duit tanpa sebarang masalah.

Lain cerita kalau korang dah ada tanggungan. Mungkin korang kena perlahankan rentak. Tapi, tak bermaksud korang tak boleh buat pelaburan hartanah langsung.

Belajar cara uruskan duit dan pelaburan yang betul dan terbukti berkesan. Dalam dunia ini, tak ada perkara yang mustahil. Semua boleh jadi dengan izin-Nya.

Alhamdulillah, anak-anak muda yang saya jumpa sekarang ada matlamat yang besar.

Ramai yang dah mula belajar menyimpan dan melabur kat medium yang betul. Ini semua demi kesenangan masa depan.

Semakin lama, harga hartanah kat Malaysia semakin tinggi.

Makin lama, ia semakin tak selari dengan pendapatan ramai orang kat negara ni.

Kenaikan harga hartanah selari dengan kenaikan inflasi. Dan ramai yang mula ambil langkah mudah dengan salahkan sana-sini.

Ada yang salahkan kerajaan yang memerintah. Ada yang salahkan developer. Macam-macam.

Tak dapat nak bayangkan harga rumah dalam tempoh 10 ke 20 tahun akan datang.

Mungkin akan sampai satu masa nanti, bertambah ramai yang tak mampu nak beli rumah kat negara sendiri.

Tak nak perkara ni jadi kat korang? Korang dah tahu nak buat apa kan? Mula kumpul duit dan beli hartanah mulai sekarang.

Masa muda, masih banyak masa yang terluang. Daripada bazirkan masa macam tu saja, baik lagi cari jalan untuk tambah pendapatan.

Yang banyak duit pun, korang juga nanti.

Lupakan pelaburan yang janjikan keuntungan yang merepek. Baik lagi korang jual kerepek. Boleh lagi saya terima.

Sah-sah untung rugi kita boleh kira.

Lagi tinggi pendapatan kita, lagi banyak kita boleh simpan. Masa muda inilah kita kena kerah tenaga habis-habisan.

Tak perlu pandang hina kat orang yang jual burger. Kawan saya, siang dia kerja engineer. Malam menjelma, jadi penjual burger pula. Duit untung, dia buat beli rumah. Kita cari rezeki halal. Tak perlu malu-malu. Buat yang perlu.

Bila rumah pertama kita disewakan, pihak bank akan kira hasil sewaan sebagai pendapatan.

Walaupun kita masih ada komitmen kat bank, kita masih lagi boleh beli rumah untuk pelaburan lain. Sebab DBR (Debt Burden Ratio) kita masih rendah, atau silap-silap, masih kosong.

Mungkin harga rumah yang dibeli akan meningkat. Kita boleh buat re-finance (lihat pada kadar sewa) dan jadikan modal untuk beli rumah lain.

Ada macam-macam strategi yang boleh kita gunakan untuk perkara ini. Yang penting, biarlah ia sesuai dengan kapasiti kewangan kita.

Bayangkan. Muda-muda lagi dah ada berbiji-biji rumah. Keluarga mertua pun senang hati nak bagi korang kahwin dengan puteri mereka. Gitu.

Lepas habis baca perkongsian ini, korang masih lagi rasa nak bazirkan duit kat benda yang bukan-bukan ke?

Tok tak rasa korang macam tu. Mesti dah berkobar-kobar nak kumpul duit. Mungkin ada yang dah pelan nak buka satu lagi akaun kat bank, khas untuk simpanan pelaburan hartanah.

Alhamdulillah. Tahniah Tok ucapkan kat korang yang dah mula ambil tindakan. Bagi yang belum, tunggu apa lagi?



Source link