Artikel Terkini

6 Industri Yang Akan Meningkat Apabila Ekonomi Gawat


Pengumuman pakej stimulus dari pihak kerajaan yang memberi bantuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), penangguhan bayaran pinjaman selama 6 bulan, pengeluaran i-Lestari KWSP selama 12 bulan dan pelbagai lagi bantuan kepada para peniaga; ini merupakan indikator bahawa ianya akan mengambil masa yang lama untuk pulih daripada wabak Covid-19 ini.

Beberapa perkara yang kita perlu bersedia adalah kehilangan pekerjaan, tiada pendapatan, lambakan rumah tak terjual, lelongan rumah yang meningkat, pinjaman tak berbayar juga akan meningkat. Situasi ini berlaku kerana kita semua tidak dapat menjalankan urusan jual beli dan berjumpa klien seperti biasa.

Namun, ketika ini juga akan wujud usahawan dan jutawan segera yang bijak mengambil peluang. Bukan scammer ya, sebaliknya mereka yang menjalankan perniagaan dalam servis penting yang dicari orang ramai ketika musibah sedang melanda ini.

Jom kita tengok 6 industri yang akan meningkat apabila ekonomi gawat.

1. Kesihatan

Industri kesihatan sangat diperlukan dalam apa jua keadaan sekalipun. Samada dalam keadaan biasa, ekonomi gawat atau peperangan, di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Tidak semestinya yang bekerja di klinik dan hospital sahaja. Mereka yang menjadi pembekal barangan kesihatan, ubat-ubatan dan sebagainya.

2. Makanan dan Minuman

Pada musim gawat ini, orang ramai akan kurang berkunjung ke kafe hipster dan mereka lebih memilih makanan dan gerai biasa. Bagi mereka yang berada dalam industri F&B ini, boleh ubah strategi dengan menjadikan platform online sebagai cara untuk memasarkan produk anda.

Dengan bantuan Grab Food, Food Panda dan banyak lagi sebagai runner, ianya dapat memudahkan urusan penghantaran. Makanan dalam bentuk sejuk beku dan paste masakan juga semakin hangat.

Maklumlah, ramai orang duduk diam di rumah – maka banyak masa untuk ke dapur untuk masak.

3. Logistik

Perkhidmatan kurier dan logistik juga semakin meningkat. Ramai memilih untuk membeli barangan secara online saja berbanding ke luar rumah.

Urusan di pejabat penghantaran barang turut mendapat permintaan tinggi. Ada yang menyediakan perkhidmatan persendirian sebagai runner atau despatch untuk menghantar dokumen atau barang dengan segera.

Secara tidak langsung, industri logistik yang melibatkan urusan perkapalan dan barangan keluar masuk Malaysia juga menjadi sibuk.

4. DIY

Industri dan barangan Do-It-Yourself (DIY) turut mendapat permintaan tinggi. Daripada membeli sesuatu yang baru di mana ianya melibatkan kos yang tinggi, maka ramai memilih untuk membaikinya terlebih dahulu. Boleh tengok bermacam-macam video di YouTube sekiranya memerlukan bantuan.

Selain daripada itu, ada juga yang mempunyai inisiatif untuk menanam sendiri pokok keperluan tanpa perlu lagi membeli di kedai. Ada yang tanam pokok cili, pokok kari, pokok pandan, pokok limau dan sebagainya. Tanaman secara hidroponik juga boleh diusahakan jika mempunyai tanah lapang.

5. Pakaian

Pakaian juga adalah salah satu keperluan penting. Ketika musim gawat, tidak ramai ingin membeli pakaian berjenama.

Maka ramai akan memilih pakaian murah dari bundle, kedai tanpa jenama dengan harga yang murah.

Termasuklah juga kasut, beg, tudung dan macam-macam lagi. Jimat selagi boleh.

6. Perkhidmatan

Industri perkhidmatan atau servis mendapat perkhidmatan yang tinggi juga walaupun musim gawat. Di antaranya servis menjahit pakaian dan langsir. Servis membaiki komputer, televisyen dan mesin basuh.

Servis potong rambut, kecantikan, buat kek dan biskut. Barangan gimnasium yang boleh digunakan di rumah turut mendapat permintaan.

Semoga perkongsian ini dapat memberi idea dan panduan untuk mereka yang diuji agar dapat melakukan sesuatu dan menjana pendapatan. Kita perlu percaya rezeki ini luas, kena banyak berdoa agar diberi petunjuk dan terus berusaha serta tawakal.

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu.

Sumber Rujukan:



Source link