Artikel Terkini

6 Perkara Dalam Dunia Pekerjaan Yang Telah Berubah Disebabkan Covid-19


Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dalam fasa-fasa terakhir iaitu fasa pemulihan. Walaupun kelihatan seperti keadaan semakin terkawal dan kerajaan telah memberikan banyak, tetapi PKP ini tentunya memberikan beberapa kesan terhadap kita semua terutamanya daripada segi pekerjaan.

Jika PKP berakhir nanti pun, pastinya terdapat beberapa perubahan yang bakal berlaku di dunia dari segi peluang pekerjaan dan cara bekerja.

Di antara perubahan terbesar yang berlaku adalah:

1. Bangunan Pejabat Sebagai Satu Simbol Status

Kalau sebelum ini kebanyakkan orang akan mengangkat kening apabila mendengar seseorang itu bekerja dari rumah, selepas wabak ini reda; ia pastinya bukan sesuatu yang luar biasa lagi. Sesetengah syarikat tak kira yang besar atau kecil bakal memberi kelonggaran kepada para pekerja untuk bekerja dari rumah bagi menjimatkan kos syarikat.

Para pekerja mungkin akan diperlukan juga untuk ke pejabat pada waktu-waktu tertentu, tetapi masa bekerja di pejabat adalah lebih terhad. Di masa akan datang, bangunan pejabat mungkin akan menjadi simbol atau status kejayaan sesebuah perniagaan.

2. Mesyuarat Atas Talian (Online)

Disebabkan tak boleh nak ke tempat kerja, mesyuarat pun terpaksa dilakukan dengan menggunakan aplikasi yang ada seperti Zoom, Skype, Webex dan sebagainya. Budaya ini dilihat akan diteruskan selepas tamatnya tempoh PKP.

Mereka yang kurang mahir dengan teknologi, mahu tak mahu terpaksa juga belajar supaya dapat melakukan pekerjaan dengan lebih efisien.

3. Tidak Perlu ‘Outstation’

Segala jenis kerja atau perjalanan merentas sempadan negeri atau negara terpaksa dibatalkan atau dikurangkan. Kalau ada urusan kerja yang penting pun, kita boleh berhubung melalui email dan juga panggilan video sahaja.

Besar kemungkinan, kebanyakan syarikat dan juga organisasi akan menghadkan outstation untuk para pekerjanya bagi mengurangkan kos. Kecuali untuk urusan yang betul-betul penting saja.

4. Topeng Muka Sebagai Satu Fesyen

Pemakaian topeng muka bakal menjadi sesuatu yang biasa. Ia tidak hanya dipakai ketika seseorang itu tidak sihat, tetapi ia juga akan dipakai untuk mengelakkan penyebaran penyakit.

Topeng muka selepas ini pastinya akan menjadi satu keperluan untuk semua orang. Ada pengeluar fesyen muka yang kreatif dalam menghasilkan topeng muka yang bukan sahaja bertindak untuk melindungi dan selesa, tetapi juga stylish untuk yang memakainya.

5. Tidak Ada Lagi Waktu Pejabat

Selepas ini tiada lagi masa bekerja yang tetap seperti office hour. Para pekerja dapat melakukan kerja mereka dengan lebih fleksibel mengikut kesesuaian masa masing-masing. Yang penting, kerja dapat disiapkan pada masa yang telah ditetapkan.      

Pastinya ramai pekerja yang ternanti-nanti kerana mereka dapat meluangkan lebih banyak masa melakukan perkara yang mereka suka di samping meningkatkan produktiviti. Keseimbangan kerja-kehidupan (work-life balance) adalah sesuatu yang kita semua cari.

6. Capaian Internet Yang Lebih Luas

Bila ramai yang terpaksa bekerja dari rumah, tentulah mereka memerlukan internet yang berkelajuan tinggi bagi memudahkan urusan masing-masing. Bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, ia pasti menyukarkan mereka untuk kekal produktif.

Jaringan internet akan diperluaskan lagi bagi memastikan setiap rakyat mendapat liputan internet berkelajuan tinggi di mana saja kita berada.

Sebenarnya banyak lagi perubahan yang mungkin akan berlaku selepas tamatnya pandemik ini. Sama ada perubahan tersebut bersifat positif mahu pun negatif, kita perlu bersedia untuk menghadapinya.

Sumber Rujukan: https://www.cnbc.com/2020/04/29/how-the-coronavirus-pandemic-will-impact-the-future-of-work.html



Source link