Artikel Terkini

6 Tips Lulus Pembiayaan Bank Dengan Mudah


Melalui sedikit sebanyak pengalaman yang lepas dalam menguruskan pembiayaan, ramai prospek pembeli terutamanya yang bekerja sendiri, sukar untuk lulus pembiayaan bank. Walaupun mereka mempunyai sumber pendapatan yang kukuh dan wang yang banyak.

Ada banyak sebab mengapa bank tidak meluluskan pembiayaan kita dan ada banyak sebab juga mengapa bank senang nak luluskan pinjaman rumah anda.

Berikut merupakan beberapa tips mudah terutamanya bagi yang bekerja sendiri/berniaga yang berhasrat untuk memiliki rumah sendiri suatu hari nanti.

Jom kita tengok 6 tips untuk lulus pembiayaan bank dengan mudah.

1. Simpanan Yang Mencukupi

Bank sangat suka kepada peminjam yang mempunyai pinjaman yang banyak. Bukan setakat bank boleh pinjam duit anda, malah bank berasa selamat jika ada apa-apa yang berlaku ke atas pendapatan anda, sekurang-kurang mempunyai bantuan kewangan lain.

Berapa jumlah yang cukup? Sekurang-kurangnya jumlah 6 bulan bayaran ansuran pinjaman yang anda mohon.

Kalau ansuran bulanan adalah RM1,000, maka kita perlu ada RM6,000 dalam simpanan. Lagi bagus kalau kita ada 12 kali lebih banyak daripada ansuran bulanan.

Kalau tak cukup simpanan, bagaimana pula kita nak bayar kos-kos lain jika pembiayaan tersebut sudah diluluskan nanti?

APA YANG PERLU KITA BUAT? Lampirkan kesemua penyata simpanan terkini anda (Tabung Haji, ASB dan sebagainya)

Baca: 4 Tips Nak Tingkatkan Simpanan Untuk Beli Rumah

2. Baki Yang Cukup Dalam Akaun

Pastikan kita mempunyai baki yang mencukupi sementara menunggu gaji bulan depan. Apa yang dimaksudkan dengan baki yang mencukupi?

Contoh ringkas; katakanlah esok hari gaji, hari ini masih mempunyai baki belanja, RM100 ke, RM50 ke.

Janganlah lagi 15 hari nak gaji, baki duit ada lagi RM10. Ini kes dah habis korek dah nih. Kes tengah bulan dah kering. Sedih dan haru.

Bank pun takut nak lulus pembiayaan kita. Kalau kita jenis yang siap-siap asingkan duit anda ke akaun yang lain, lampirkan buktinya iaitu penyata bank untuk akaun simpanan tersebut.

Baca: 7 Tabung Simpanan Yang Perlu Ada. Mulakan Sekarang!

3. CCRIS Yang Cantik

Di antara salah satu kriteria yang bank lihat semasa permohonan pembiayaan rumah adalah rekod CCRIS kita. Setiap kali bank proses permohonan pinjaman kita, mereka akan periksa sistem CCRIS (Central Credit Reference Information System).

CCRIS, yang diuruskan oleh Bank Negara, akan menyediakan maklumat pembayaran hutang si peminjam untuk tempoh 12 bulan terakhir. Laporan ini termasuklah:

  • Pinjaman/ Pembiayaan rumah atau komersial
  • Pinjaman sewa beli kereta
  • Kad kredit
  • Pinjaman peribadi atau lain-lain.

Kalau kita lambat bayar atau ada tunggakan ansuran bulanan bagi setiap hutang yang dibuat, peluang permohonan kita untuk ditolak adalah tinggi. Pastikan rekod CCRIS hanya tertera nombor ‘0’ sahaja. Elakkan ada nombor selain daripada ‘0’.

Jangan terlepas tarikh akhir pembayaran pinjaman. Bayar awal sebelum tarikh akhir setiap bulan. Selain itu juga, periksa item No.2 iaitu Special Attention Account (SAA).

Jika ada apa-apa yang tersenarai di dalam ruangan SAA, pastikan kita selesaikan dan lampirkan sekali surat pelepasan semasa permohonan dibuat.

Nak lebih selamat, kita dapatkan laporan CCRIS secara online sebelum membuat sebarang permohonan pembiayaan perumahan.

Baca: eCCRIS – Laporan Kredit di Hujung Jari

4. Skor Kredit Mesti Mantap

Bank akan menolak permohonan pembiayaan jika Scoring anda rendah. Ada yang disebabkan oleh banyak kad kredit dan telah menggunakan kad kredit tersebut sehingga 60% daripada had kredit. Dah lah guna sampai habis limit, bayar pun asyik minimum (5%) sahaja.

Selain itu, ada beberapa faktor yang menyumbang kepada score yang rendah, seperti:

  • Pajakan Ar-rahnu yang banyak
  • Peminjam mempunyai banyak pinjaman peribadi tertera dalam CCRIS, walaupun DSR masih rendah
  • Peminjam mengambil banyak meminjam dalam masa setahun; ambil pinjaman sewa beli kereta, pinjaman peribadi, kad kredit dan pembiayaan rumah, walaupun bayaran ansuran bulanan yang cantik
  • Peminjam sudah berumur lebih 40 tahun, masih bujang, dalam CCRIS hanya mempunyai satu hutang kad kredit sahaja dan sekarang dia nak buat pinjaman rumah

Baca: 4 Cara Untuk ‘Clearkan’ Rekod CCRIS

5. Dokumen Yang Lengkap Dan Terkini

Pastikan kita menghantar dokumen permohonan yang lengkap dan dokumen tersebut mestilah yang terkini. Kalau boleh jangan hantar dokumen yang asas sahaja, hantar semua dokumen yang menunjukkan pendapatan dan jualan perniagaan kita.

Bank minta penyata bank dan gaji untuk 3 bulan, kita beri 6 bulan. Bila bank minta untuk 6 bulan, kita beri setahun punya penyata.

Pertama, pihak bank tak perlu tanya anda banyak kali suruh hantar dokumen yang belum lengkap atau dokumen yang agak lemah. Keduanya, memudahkan pihak bank untuk mengetahui betapa konsistennya pendapatan kita dan berapa banyak, senang nak lulus permohonan kita nanti.

Baca: Tips Menyediakan Loan Profile Supaya Tak Susahkan Banker

6. Tahu Dan Semak Kelayakan

Penting untuk kita belajar pengiraan DSR untuk tahu berapa harga rumah yang boleh dibeli dengan gaji kita. Kalau dah tahu kemampuan, maka kita pilihlah rumah yang bersesuaian.

Bagi lebih menyakinkan dan memastikan anda akan lulus pinjaman rumah anda, dapatkan bantuan beberapa orang pegawai bank (berlainan bank) untuk memeriksa kelayakan pinjaman kita. (Pre-check).

Ada dokumen yang belum cukup, sempat lagi untuk dicukupkan. Kalau pendapatan cukup-cukup makan atau ada masalah dengan CCRIS, sekurang-sekurangnya mereka boleh menasihati kita terlebih dahulu sebelum anda membeli.

Baca: Layak Beli Rumah, Tapi Belum Tentu Mampu

Jamel Driller
Pelabur dan Perunding Hartanah
https://mjayproperty.com/



Source link