Artikel Terkini

7 Alternatif Kepada ASB Dan Tabung Haji


Selepas Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan kadar pengagihan pendapatan ASB sebanyak 5.5% bagi tahun 2019, rata-rata kiriman di Facebook oleh rakan-rakan menyatakan ketidakpuashatian kerana dividen yang diumumkan agak rendah.

Ini ditambah lagi dengan pengumuman kadar hibah Tabung Haji (TH) yang hanya 1.25% pada April tahun lepas.

Dalam meratapi pulangan yang rendah itu, mungkin ada baiknya kita cari alternatif dan belajar tentang pelaburan-pelaburan lain yang ada di Malaysia. Kita perlu perbanyakkan sumber pendapatan kita selain daripada hanya bergantung kepada ASB dan TH.

Dengan kata lain, kita perlu diversify kerana ada instrumen pelaburan yang akan perform dan ada juga yang akan kurang perform. Itulah realitinya.

Di sini penulis ingin kongsikan beberapa alternatif yang kita sama-sama boleh terokai.

1. Fixed Deposit (Simpanan Tetap) atau Time Deposit

Gaya pelaburan
ini adalah yang paling mudah sekali. Kebanyakan bank ada menyediakan kemudahan fixed
deposit
(FD) untuk pelanggan. Secara ringkasnya, anda hanya memberikan wang
anda kepada bank untuk satu tempoh masa dan bank akan memulangkannya berserta
kadar keuntungan, contohnya 3%.

Kadar pulangan kebiasaannya adalah pada sekitar 2%-4.5%, bergantung kepada tempoh masa dan bank yang anda pilih. Kadangkala ada bank yang memberikan kadar keuntungan yang lebih tinggi sebagai promosi.

Contohnya MBSB Bank menawarkan keuntungan efektif setinggi 5.5% setahun dengan minimum RM22,500 deposit. Sama tinggi dengan pulangan ASB tu!

Risiko: Hampir tiada risiko

2. Saham

Sekiranya kita merasakan pulangan FD tidak cukup tinggi, cubalah jual beli saham sendiri. Saham ialah hak pemilikan dalam sesebuah syarikat yang didagangkan di sesebuah pasaran saham. Di Malaysia, syarikat-syarikat mengapungkan saham mereka di Bursa Malaysia.

Di antara saham patuh syariah yang boleh kita jual beli adalah saham syarikat Nestle, Dutch Lady, Air Asia, Syarikat Takaful Malaysia, Ajinomoto, Padini dan banyak lagi.

Kadar keuntungan pelaburan saham bergantung kepada ‘prestasi’ saham yang kita beli dan pegang. Saham yang tinggi risikonya berpotensi untuk memberikan pulangan yang tinggi atau kerugian yang tinggi.

Sebaiknya, belajar dahulu sebelum bertindak membeli mana-mana saham. Beli olok-olok dulu pun boleh.

Risiko: Medium

3. Unit Trust (Unit Amanah)

Penulis ada berita baik sekiranya anda ingin laburkan duit ke dalam saham tapi tidak ada ilmu atau tidak ada masa untuk belajar. Anda boleh beli unit amanah saham!

Secara dasarnya, dengan membeli unit amanah saham, anda “mengupah” seorang pengurus dana untuk melaburkan duit anda ke dalam saham-saham yang bagus. Ianya sama seperti ASB, tetapi ia bukanlah harga tetap seperti ASB.

Harganya boleh berubah-ubah mengikut nilai saham yang telah dibeli oleh pengurus dana anda. Kalau saham-saham yang dibelinya naik harga, maka semakin tinggilah keuntungan yang anda perolehi.

Contoh yang
diberi di atas adalah untuk saham sahaja. Ada banyak lagi aset yang anda boleh
pilih dalam unit amanah, contohnya bon, logam berharga (precious metals),
komoditi, hartanah, dan sebagainya.

Risiko: Bergantung kepada dana yang anda beli

4. Private Equity (Ekuiti Swasta)

Pelaburan private equity ini secara ringkasnya ialah membeli saham syarikat yang tidak diapungkan di sesebuah bursa.

Contohnya anda ada seorang rakan yang ingin mengusahakan gerai burger tapi tiada modal. Anda memberikannya RM5,000 dengan persetujuan bersama untuk membeli 50% saham dalam bisnes burgernya, manakala rakan anda mengusahakan bisnes tersebut.

Kemudian, keuntungan dibahagi 50-50 antara anda dan rakan anda. Mudah kan?

Tetapi sebaiknya anda belajar valuation (penilaian sesebuah syarikat) dahulu sebelum melabur ke dalam bisnes sebegini kerana dikhuatiri anda membeli saham tersebut dengan harga yang mahal.

Keuntungan bisnes-bisnes kecil juga tidak stabil dan amat bergantung kepada kehebatan orang yang mengendalikan bisnes tersebut.

Risiko: Tinggi

5. Equity Crowdfunding

Equity crowdfunding konsepnya sama sahaja seperti private equity, iaitu membeli saham syarikat yang tidak diapungkan. Perbezaannya adalah dari segi adanya pihak tengah iaitu sebuah platform seperti pitchIn. Jumlah pelabur pula selalunya ramai.

Dengan menggunakan platform ini, anda boleh memberikan duit anda kepada syarikat tersebut, dan syarikat itu akan memberikan anda sejumlah pegangan saham.

Anda tidak akan
dapat mengetahui nilai semasa (market value) pegangan anda dengan cepat
kerana harganya tidak diapungkan seperti saham di bursa. Anda hanya akan tahu
apabila valuation yang terkini diterbitkan, contohnya ketika pusingan fundraising
seterusnya.

Untuk melabur ke dalam saham sebegini memerlukan anda untuk memahami valuation, kerana anda tidak ada chart mahupun fair value yang diterbitkan oleh penganalisa saham untuk dijadikan panduan.

Biasanya pelabur veteran dan sofistikated sahaja yang menggunakan equity crowdfunding. Pulangan juga tidak menentu, anda berpotensi rugi besar atau untung besar.

Risiko: Tinggi

6. Debt Crowdfunding

Salah satu contoh debt crowdfunding di Malaysia ialah Investment Account Platform (IAP), iaitu sebuah platform patuh syariah untuk mendapatkan pinjaman dari pelabur. Beza di antara debt crowdfunding dan equity crowdfunding ialah anda tidak akan diberikan pegangan saham dalam syarikat tersebut.

Anda sekadar memberikan pinjaman kepada syarikat tersebut untuk melaksanakan projek, dan anda akan mendapat semula wang anda berserta pulangan pada masa dan kadar yang ditetapkan. Konsep ini sama seperti FD.

Kadar
pulangannya kebiasaannya lebih tinggi dari FD, sekitar 4% ke 7%. Ia juga
bergantung kepada rating syarikat atau projek tersebut. Lebih tinggi rating
bermaksud pelaburan tersebut lebih selamat, dan juga bermaksud pulangan yang
anda bakal dapat adalah lebih rendah.

Risiko: Rendah

7. Hartanah – REIT atau Beli Hartanah Secara Langsung

REIT atau nama penuhnya Real Estate Investment Trust ialah unit amanah yang melaburkan dana ke dalam hartanah, contohnya menara pejabat, gudang, pusat beli-belah dan lain-lain aset hartanah.

Di antara contoh REIT ialah IGB REIT dan Pavilion REIT, kedua-duanya adalah saham yang diapungkan di Bursa Malaysia.

Anda patut beli REIT sekiranya anda tidak mempunyai kepakaran dalam bidang hartanah tetapi mahu melabur dalam pelbagai hartanah untuk mencapai diversification. Melaburkan wang ke dalam REIT bermaksud anda “mengupah” seorang pengurus dana untuk membeli hartanah bagi pihak anda.

Sekiranya anda mempunyai ilmu dalam bidang hartanah, maka anda boleh melabur secara langsung. Namun, pilihan pelabur hartanah yang bergerak secara individu agak terhad.

Mereka tidak mempunyai dana yang cukup besar untuk membeli sebuah gudang atau pusat beli-belah. Kebiasaannya, pelaburan yang menjadi pilihan mereka ialah perumahan ataupun lot kedai.

Keuntungan yang anda boleh jangkakan melalui pelaburan hartanah adalah sekitar 0% ke 7%, bergantung kepada keadaan pasaran hartanah semasa dan jenis hartanah yang dibeli.

Baca juga Kenali Kaunter REIT Patuh Syariah Di Bursa Malaysia

Risiko: Rendah

Kesimpulan

Bagi penulis; FD, unit amanah saham, REIT, serta debt crowdfunding ialah tempat-tempat pelaburan yang sesuai bagi kebanyakan orang kerana tidak berisiko tinggi. Para pelabur dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan meminta pandangan pakar sebelum membuat pelaburan yang tidak diyakini selamat.

Selain daripada itu, para pelabur juga dinasihatkan agar tidak meletakkan kesemua wang pelaburan di satu tempat sahaja. Pulangan akan lebih stabil dan konsisten dengan adanya diversification.

Selain pelaburan yang disebutkan
di atas, banyak lagi jenis pelaburan yang tak disebutkan disini, contohnya exchange-traded
fund
(ETF), wang kripto, dan komoditi. Kalau anda ada laburkan duit anda di
tempat-tempat selain yang disebutkan di atas, kongsilah dengan kami di ruangan
komen.

Selamat melabur!

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana individu/organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.



Source link