Artikel Terkini

7 Sebab Tuntutan Takaful Ditolak Dan Susah Nak Claim


“Mulut manis bila nak kita sign-up takaful, tapi bila nak buat tuntutan macam-macam alasan pula!”

Itulah yang membuatkan ramai rakyat Malaysia tidak percaya dengan ejen-ejen Takaful yang menawarkan pelan perlindungan buat mereka. Bukan main susah lagi bila nak claim, kena naik turun tangga sana sini dan macam-macam lagi kerja kita kena buat. 

Sebenarnya, proses tuntutan takaful mempunyai syarat-syarat dan kelayakan untuk anda claim semula berdasarkan polisi yang telah ditawarkan. Syarat-syarat tersebut bergantung kepada jenis insurans yang anda sertai. Adakalanya ejen juga tidak menerangkan secara terperinci kepada kita.

Bagi mengelakkan kejadian tuntutan takaful ditolak dan susah dapat claim, mari kita lihat sebab-sebab yang mempengaruhi tuntutan tersebut. Mungkin selepas ini, kita tahu sebab-sebab tuntutan ditolak dan bersiap-sedia untuk memudahkan urusan claim takaful kita.

1. Tidak Memahami Terma Dan Syarat Perlindungan

Setiap pelan perlindungan takaful tidak sama, ianya bergantung kepada jenis pelan dan syarikat takaful tersebut. Amat penting untuk kita ketahui terma dan syarat perlindungan takaful yang kita sertai.

Baca sehingga faham dan tanya kepada ejen jika ada kekeliruan atau keraguan terhadap sesuatu. Kita juga perlu memahami perbezaan di antara pelan penyakit kritikal dan pelan perubatan.

2. Tidak Mengesahkan Penyakit Sedia Ada

Ketika memohon pelan perlindungan, kita perlu mengesahkan penyakit sedia ada. Siasatan akan dibuat oleh syarikat Takaful berkaitan maklumat yang kita berikan.

Penyakit sedia ada sebelum kita memohon takaful, tidak membolehkan kita membuat tuntutan pada masa yang akan datang dengan penyakit tersebut. Tuntutan insurans pasti akan ditolak.

3. Maklumat Diri Tidak Lengkap

Borang tuntutan yang kita isi perlulah lengkap dengan jelas dan terperinci berkaitan maklumat yang diperlukan. Jangan tergesa-gesa mengisi borang tersebut tetapi isilah dengan penuh berhati-hati dan lengkap.

Tanpa maklumat lengkap, borang permohonan kita mungkin akan ditolak.

4. Pelan Takaful Telah Luput

Ramai yang keliru dengan maksud pelan takaful telah luput. Pelan takaful akan luput jika kita terlupa atau gagal membuat bayaran premium bulanan dalam tempoh yang tertentu.

Sudah menjadi tanggungjawab ejen untuk mengingatkan kita membuat bayaran bulanan. Jika tidak membuat bayaran, pelan takaful kita akan luput dalam tempoh tertentu.

5. Terlepas Tempoh Menghantar Tuntutan

Tuntutan takaful juga boleh ditolak sekiranya terlepas tempoh menghantar tuntutan tersebut. Walaupun kita sememangnya layak, tetapi kita terlewat menghantar tuntutan, ianya akan ditolak.

Ini kerana terdapat prosedur dan tempoh bagi persediaan untuk syarikat takaful memproses tuntutan kita.

6. Tuntutan Melebihi Jumlah Perlindungan

Perlindungan ditawarkan hanyalah RM100,000 misalnya, tetapi tuntutan kita melebihi jumlah tersebut. Maka, tuntutan insurans akan ditolak. Tuntutan tidak boleh melebihi daripada jumlah perlindungan.

Kita perlu semak sekiranya ada jumlah had perlindungan bagi pelan takaful yang kita ambil dan pastikanya ianya mencukupi.

7. Tuntutan Dibuat Dalam Tempoh Menunggu

Selepas baru mendaftar takaful dan berlakunya musibah, kemungkinan tuntutan kita akan ditolak. Ini kerana, terdapat tempoh menunggu selepas pendaftaran kita diterima, ada yang sebulan ada tiga bulan, ada juga lebih daripada itu.

Selepas tempoh menunggu tamat, barulah tuntutan boleh dibuat dan berjaya lulus. Oleh itu, jangan kita berlengah lagi, daftarlah takaful seawal yang boleh. Ketika kita masih muda dan sihat, berbanding apabila kita sudah tua dan sakit.

Kita tak tahu bila kita memerlukan perlindungan, kerana musibah boleh menimpa kita pada bila-bila masa. Sebelum sesuatu yang buruk berlaku, pastikan kita mempunyai perlindungan yang mencukupi.

Fahami betul-betul perkara yang perlu kita semak terutamanya bahagian terma dan syarat, agar proses tuntutan kita nanti akan menjadi lebih mudah dan lancar.

Sumber RujukanCompare Hero



Source link