Uncategorized

Ahmad berpengalaman 13 tahun bekalkan makanan buat jemaah Malaysia

Ahmad berpengalaman 13 tahun bekalkan makanan buat jemaah Malaysia 1



Ahmad berpengalaman 13 tahun bekalkan makanan buat jemaah Malaysia 2

MEKAH: Keceriaan serta perasaan bangga jelas terpancar di wajah Pengurus Alwafa Catering and Services Ahmad Abdullah apabila menceritakan pengalamannya selama 13 tahun membekalkan makanan buat jemaah haji Malaysia.

Ahmad, 48, berketurunan Melayu Pattani yang lahir di sini, berkata sistem pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) yang tersusun membuatkan beliau memohon untuk membekal dan kekal membekalkan makanan buat jemaah haji Malaysia.

“Tabung Haji punyai sistem yang jauh amat baik berbanding dengan pengurusan haji negara lain malah saya pun boleh belajar dengan Tabung Haji dan mengembangkan perniagaan saya bersama dengan Tabung Haji.

“Setiap kali musim haji saya hanya khusus bekalkan makanan untuk Tabung Haji. Di dapur ini kami boleh masak sehingga 5,000 (pek) makanan (setiap batch) yang mana pada masa ini kita sediakan 4,200 (pek) untuk Tabung Haji, kita boleh sediakan lebih banyak ikut keperluan Tabung Haji,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pengurus Operasi (Catering) TH Mohd Nober Kassim dan Chef Eksekutif Alwafa Catering and Services Mohd Kamarulzaman Md Rodi.

Tahun ini seramai 30,200 jemaah Malaysia akan melaksanakan ibadah haji dengan lebih 13,000 orang telah tiba di sini dan Madinah, dibantu 640 petugas TH. Sebanyak tujuh dapur diberi kontrak oleh TH bagi membekalkan makanan buat jemaah haji Malaysia.

Ahmad berkata kebersihan dalam penyediaan makanan merupakan aspek yang paling penting dalam urusan membekal makanan oleh syarikatnya, justeru pihaknya sentiasa mematuhi peraturan kebersihan digariskan kerajaan Arab Saudi dan TH sendiri.

“Memang dapur kita ikut syarat dengan susunan (perkakasan dapur) semua kita ikut. Bersih dalam sediakan makanan itu wajib, sentiasa jadi syarat dia. Daripada petugas, tempat sedia makanan, bahan (mentah) semua periksa,” katanya yang memulakan perniagaan sebagai ejen pelancongan 16 tahun lepas.

Sementara itu, Mohd Kamarulzaman, 48, yang berasal dari Ipoh, Perak, berkata pihaknya menggunakan kaedah pek makanan vakum dan nitrogen bagi memastikan pek makanan yang disediakan kepada jemaah haji Malaysia kekal panas serta segar.

“Dengan mesin (pek makanan) ini kita dapat pastikan pek makanan itu boleh tahan 24 jam segar dan tidak basi. Dalam sediakan makan malam kita mula sediakan bahan pukul 12.30 tengah hari dan dalam 3.30 petang pek makanan sedia dalam bekas pemanas makanan untuk diedar kepada maktab penginapan.

“Pukul 6 petang jemaah haji boleh dapatkan pek makanan malam mereka di kafeteria penginapan masing-masing, tahun ini kita sediakan untuk empat penginapan. Lauk pelbagai ada ayam, daging, ikan dan sotong mengikut permintaan Tabung Haji,” katanya yang mesra dengan panggilan Chef Ayub.

Ditanya apa yang menyebabkan beliau memilih untuk bertugas selama empat tahun dengan syarikat itu, beliau berkata peluang untuk bertugas sambil beribadat untuk membantu jemaah haji selain belajar daripada pengalaman di sini serta daripada Ahmad menjadi faktor utama beliau kekal di sini.

— BERNAMA





Source link