Uncategorized

AirAsia berhasrat tawar lebih banyak laluan baharu menerusi LTAM



MELAKA: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Berhad (AirAsia) berhasrat menawarkan lebih banyak laluan baharu menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) selain penerbangan harian dua hala ke Pulau Pinang yang dilancarkan bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Riad Asmat berkata bagaimanapun usaha jangka panjang itu bergantung kepada permintaan daripada penumpang bagi laluan yang ditawarkan dan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Melaka dalam mempromosikan laluan tersebut.

Katanya berdasarkan maklum balas yang diterima, Melaka merupakan dua destinasi popular dalam kalangan penumpang asing yang menaiki penerbangan syarikat itu selain Pulau Pinang kerana kedua-dua negeri berkenaan mempunyai beberapa persamaan khususnya dari segi aspek warisan serta sejarah yang diiktiraf UNESCO dan ia menjadi tarikan utama kedatangan pelancong ke destinasi tersebut.

“Bagi perancangan jangka masa panjang khususnya untuk laluan baharu menerusi LTAM, lokasinya sebenarnya banyak tetapi apa pun kita akan membuat kaji selidik sebelum ia dimuktamadkan dan sekurang-kurangnya ia memerlukan antara tiga hingga enam bulan.

“Kita percaya Melaka mempunyai potensinya tersendiri dan jualan tiket bagi laluan dua hala Melaka ke Pulau Pinang dan Pulau Pinang ke Melaka yang baharu dilancarkan hari ini agak memberangsangkan iaitu melebihi 90 peratus daripada jumlah kerusi yang ditawarkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Penerbangan Pertama AirAsia Melaka-Pulau Pinang-Melaka di LTAM, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Pada majlis itu, Melaka menerima penerbangan pertama dari Pulau Pinang yang membawa 175 penumpang menggunakan pesawat Airbus A320 yang berlepas dari Lapangan Terbang Pulau Pinang pada 1.20 petang dan mendarat di LTAM pada 2.25 petang.

Mengulas lanjut, Riad berkata pembukaan laluan baharu itu bukan sahaja akan membantu mengembangkan industri pelancongan tempatan tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang bagi kedua-dua bandar warisan dunia itu.

“Menerusi laluan itu, penduduk Melaka yang ingin ke Sabah dan Sarawak atau destinasi lain di Asean boleh menaiki penerbangan berkenaan menerusi hab kami di Pulau Pinang. Melaka merupakan destinasi domestik keenam AirAsia dan laluan ke-14 dari hab Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Adly berkata laluan penerbangan baharu AirAsia di LTAM itu dilihat dapat membantu kerajaan negeri memastikan lapangan terbang tersebut berfungsi secara optimum dan memberikan perkhidmatan penerbangan kepada rakyat.

Selain itu, katanya, ia juga dapat menyumbang peningkatan kedatangan pelancong ke Melaka dan membantu mempromosikan negeri itu sebagai salah satu destinasi pelancongan utama Asia serta merancakkan Tahun Melawat Melaka 2019.

“Pada suku pertama tahun ini, Melaka menerima sebanyak 4.79 juta pelancong iaitu 3.4 juta orang merupakan pelancong tempatan manakala 1.38 juta pelancong asing.

“Dengan perkhidmatan terbaharu yang ditawarkan AirAsia, kita yakin sasaran 20 juta pelancong ke Melaka pada tahun ini dapat dicapai,” kata Adly.

— BERNAMA





Source link

Related Posts