Uncategorized

AirAsia minta MAHB mengutamakan permasalahan klia2

AirAsia minta MAHB mengutamakan permasalahan klia2 1



AirAsia minta MAHB mengutamakan permasalahan klia2 2

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd hari ini meminta Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk memberi lebih keutamaan kepada isu operasi lebih kritikal dan pengalaman penumpang di klia2, daripada rancangan terhadap cadangan menyepadukan hab penerbangan tambang rendah itu dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tambang rendah tersebut berkata MAHB juga tidak mengadakan rundingan yang sewajarnya dengan pihaknya atau AirAsia X, kedua-dua pengendali syarikat penerbangan terbesar itu menyumbang 97 peratus daripada keseluruhan aliran penumpang di klia2.

“Infrastruktur utama dan pelan berintensifkan perbelanjaan modal (CAPEX) bagi mengintegrasikan KLIA dan klia2 perlu ditangguh, sebaliknya isu-isu lebih kritikal perlu diberi keutamaan oleh MAHB,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat.

Beliau berkata MAHB perlu membelanjakan lebihan wang diperoleh daripada kutipan cukai lapangan terbang dengan memastikan kemudahan di klia2 mencapai standard yang sama seperti KLIA, membaik pulih landasan terbang dan kawasan apron yang tidak rata serta menyediakan lebih banyak ruang penumpang dan mengubah reka bentuk pintu masuk ntuk menaiki pesawat.

“Antara contoh penggunaan lebih berhemah daripada penambahan cukai lapangan terbang ialah menangani kesesakan penumpang di lapangan terbang di seluruh negara iaitu Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang kerana kawasan daftar masuknya terlalu kecil untuk menampung pertambahan jumlah penumpang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu menyifatkan rancangan menyepadukan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh di KLIA dengan syarikat penerbangan tambang rendah di klia2 tersebut tidak membawa sebarang faedah.

“Dalam operasi kami jalankan selama 18 tahun, kami tidak menerima sebarang permintaan untuk penyepaduan perkhidmatan daripada syarikat penerbangan penuh, termasuk juga daripada syarikat penerbangan tambang rendah kami sendiri yang beroperasi di luar KLIA.

“Tiada sebarang potensi bagi penyepaduan untuk syarikat penerbangan, ia menunjukkan MAHB gagal untuk memahami. Ia juga mencerminkan MAHB tidak memahami sepenuhnya apa yang diperlukan syarikat penerbangan dan penumpang,” katanya.

Beliau juga mendakwa bahawa perakuan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) terhadap konsep terminal bersepadu dan cadangan interlink itu, adalah justifikasi bahawa MAHB dan kenaikan cajnya adalah bukan untuk kepentingan penumpang tetapi lebih kepada Asas Aset Kawal Selia MAVCOM yang bertujuan untuk melindungi dan mengekalkan pendapatan MAHB.

— BERNAMA





Source link

Related Posts