Uncategorized

Ais tingkap resipi turun temurun selama 100 tahun


GEORGE TOWN: Sesiapa sahaja yang berkunjung ke Pulau Pinang pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba ais tingkap di Lebuh Tamil, di sini, yang terletak bersebelahan Pasar Chowrasta.

Berikutan nama air itu yang unik, menyebabkan pengunjung yang datang ke Pulau Mutiara pasti memasukkan lokasi kedai minuman berkenaan sebagai tempat wajib dikunjungi walaupun dari luaran ia kelihatan seperti air sirap selasih biasa.

Minuman ais parut campuran istimewa yang hanya boleh didapati di Pulau Pinang itu adalah campuran air sirap yang ditambah dengan bahan-bahan untuk menyejukkan badan antaranya selasih, kembang semangkuk, getah anggur, isi kelapa, air kelapa dan resepi rahsia iaitu sarbat.

Pengusaha kedai ais tingkap itu, Mohamed Almi Seeni Mohamed, 32, berkata moyangnya mula menjual air campuran istimewa itu atau dikenali dengan nama air sarbat dalam kalangan penduduk negeri ini, dari tingkap kedainya pada tahun 1919 sehingga menjadi perniagaan turun temurun keluarga.

“Dari situ datangnya nama ais tingkap itu kerana tok wan (datuk) saya jual air ni dari tingkap. Hanya seorang saja yang boleh masuk dalam, tempat dia kecil sahaja dan yang lain-lain semua duduk di luar. Kami menjual dari tingkap sehingga tahun 2011. Selepas bangunan ini bertukar tangan, pemilik baharu tidak mahu menyewanya. Jadi, kami buat di kawasan luar dan buat besar sikit dengan menambah beberapa menu.

“Dulu kami hanya jual air sarbat, air kelapa dan cendol. Sekarang kami dah ada lebih 20 menu. Kami hanya menjual air sahaja di sini termasuk cendol dan ais kacang. Sehari kami boleh jual antara 300 ke 400 gelas. Tapi pada musim panas, cuti sekolah dan cuti am kami boleh jual sehingga 1,000 gelas sehari,” katanya kepada Bernama.

Mohamed Almi berkata beliau bersama dua abangnya Mohamed Jafri, 37, dan Mohd Taufique, 35, adalah generasi keempat yang mengusahakan perniagaan itu sekarang sebelum moyang, datuk dan bapanya yang kesemuanya sudah meninggal dunia.

“Adik-beradik saya ada tujuh orang dan saya yang paling bongsu. Kini, saya bersama abang nombor lima dan enam meneruskan perniagaan ini. Sebelum ini abang sulung dan nombor dua yang usahakan perniagaan ini tapi sekarang mereka dah buka kedai lain menjual cucur udang dan teh halia yang terletak berhampiran kedai ais tingkap ini.

“Ini perniagaan keluarga, kami tak boleh bagi pada orang lain. Yang bekerja di sini semua adalah ahli keluarga kami. Di sini ada enam orang pekerja yang mana tiga lagi itu adalah sepupu kami,” katanya.

Air itu unik menyebabkan pengunjung yang datang ke Pulau Mutiara pasti memasukkan lokasi kedai air berkenaan sebagai tempat wajib dikunjungi walaupun dari luaran ia kelihatan seperti air sirap selasih biasa. --fotoBERNAMA

Menurutnya, resepi rahsia iaitu ‘sarbat’, dihasilkan oleh ibunya, Jaleela Begum, 63, dan air berkenaan bukan sahaja menjadi kegemaran penduduk tempatan, malah turut dicari pelancong luar yang sampai ke sini, walaupun perniagaan itu telah memasuki ulang tahun keseratus operasinya tahun ini.

Beliau berkata kedai ais tingkap itu turut tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) kerana telah lama beroperasi di Lebuh Tamil selain turut mempunyai pelanggan dari luar negara.

“Pelancong luar mesti akan mai (datang) kedai kami. Mereka juga suka air sarbat ini. Kami kalau boleh nak terus kekal di sini (Lebuh Tamil) kerana di sinilah ais tingkap bermula. Walaupun zaman jualan dari tingkap itu sudah tiada namun namanya tetap dikenali sehingga ke hari ini,” katanya.

Mohamed Almi berkata sempena ulang tahun ke-100 kedai itu pihaknya bercadang untuk memberi ais tingkap percuma kepada orang awam dan pelanggan yang tidak jemu menyokong perniagaan itu.

Menurutnya, pemberian air percuma itu dijangka akan bermula selama dua jam dari pukul 2.00 petang yang akan diadakan pada 1 Sept ini.

“Ini sebagai penghargaan kami kepada pelanggan. Kami memilih 1 Sept ini sempena tahun penubuhan kedai ini iaitu 1919 (1.9.19). Selain itu, kami juga akan jual tshirt sempena 100 tahun perniagaan kami dan ‘keychain’,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, beliau berkata pihaknya sedang mencari lokasi bersesuaian di Bayan Baru untuk membuka sebuah lagi kedai ais sarbat memandangkan permintaan yang tinggi daripada pelanggan dan cawangan pertama itu dijangka akan dibuka tahun ini.

Ais tingkap itu dijual pada harga antara RM2.50 ke RM3 dan sedap diminum dengan ais untuk menghilangkan dahaga serta menyejukkan badan. Kedai itu beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 7.00 malam.

— BERNAMA





Source link