Artikel Terkini

Apa Itu Rental Yield Dalam Pelaburan Hartanah?


Rental yield adalah
pulangan yang diperoleh seorang pelabur hartanah yang dicapai apabila hartanah
tersebut disewa.

Rental yield adalah
dalam angka peratusan dan dikira menerusi mengambil pendapatan sewa tahunan
hartanah dan dibahagikan dengan jumlah amaun yang telah dilaburkan dalam
hartanah itu.

“ Dalam pelaburan hartanah, mencapai pulangan sewa yang baik adalah sangat penting. ”

Logiknya adalah jika pendapatan kita adalah lebih rendah daripada perbelanjaan, maka kita akan kehilangan wang seterusnya rugi dan begitulah sebaliknya.

Seorang pelabur
hartanah yang bijak akan merencana perancangan yang membolehkan beliau mencapai
keuntungan jangka panjang yang konsisten sebelum melabur dalam hartanah.

Peratus rental yield yang baik dan menguntungkan adalah sangat subjektif mengikut jenis hartanah, lokasi dan lain-lain. Akan tetapi, di Malaysia sekiranya kita memperoleh rental yield pada kadar 6% atau lebih adalah sangat baik.

Jumlah yang lebih rendah daripada 6% tidak semestinya merugikan, akan tetapi berkemungkinan besar melambatkan proses kita untuk mencapai keuntungan dan juga mencapai keuntungan sewaan dan juga keuntungan modal.

Kiraan rental yield
merupakan indikator kepada seorang pelabur hartanah bahawa sesebuah hartanah
itu mempunyai potensi dalam pelaburan hartanah ataupun tidak.

Buat pengetahuan, bukan semua hartanah yang dijual di bawah harga pasaran mampu memberikan kita rental yield yang tinggi.

Misalannya, jika kita membeli sebuah apartmen di Rawang pada harga RM90,000 dengan 20% di bawah harga pasaran, apartmen tersebut berkemungkinan tidak mampu mencapai hatta 5% rental yield kerana faktor lokasi.

Dan ada juga jenis
hartanah yang tidak memberikan pulangan rental yield yang tinggi tetapi
mempunyai peningkatan nilai yang konsisten tahun demi tahun.

Semua perkara ini perlu kita ambil kira sebelum membeli sebarang hartanah atas kapasiti beli untuk disewakan.

Tips terbaik adalah
dengan melakukan kajian terhadap rental yield mengikut lokasi dan memilih jenis
hartanah yang mempunyai permintaan tertinggi di lokasi tersebut.

Cara Kira Rental Yield Dalam Pelaburan Hartanah

Bayangkan kita membeli sebuah rumah teres pada harga RM300,000 beserta kos-kos lain seperti deposit, duti setem, kos guaman, renovasi dan lain – lain.

Kadar faedah bank adalah pada kadar 6%, tempoh pinjaman 30 tahun dengan ansuran bulanan adalah sebanyak RM1,200.

Kita menyewakan rumah teres tersebut pada kadar RM1,500 sebulan dengan jumlah perolehan sewaan untuk 12 bulan adalah sebanyak RM18,000.

Jangan lupa untuk memasukkan kos hartanah seperti kos penyelenggaraan, insuran dan cukai tanah.

Dan selepas membuat kiraan, kos yang perlu kita tanggung adalah RM300 sebulan dan menjadikannya RM3,600 bagi tempoh 12 bulan atau 1 tahun.

Jumlah sewaan tahunan yakni RM18,000 tersebut perlu dibahagikan dengan harga rumah teres tersebut iaitu RM300,000 dan didarabkan dengan 100. Selepas itu, kita akan mendapat angka 6%.

Angka 6% tersebut merupakan peratusan kasar rental yield yang kita peroleh daripada hasil sewaan hartanah tersebut.

Cara Kira Pendapatan Bersih Rental Yield

Untuk mendapatkan angka pendapatan bersih daripada rental yield, kita hanya perlu mengira jumlah keseluruhan pendapatan hasil sewa, ditolak dengan kos hartanah kemudian dibahagikan dengan harga rumah tersebut dan akhir sekali didarabkan dengan 100.

Perolehan sewa tahunan : RM18,000
Kos Tahunan : RM3,600
Harga Rumah : RM300,000

Formula : RM18,000 – RM3,600 ÷ RM300,000 x 100% :
4.8%

Angka 4.8% tersebut adalah peratusan bersih rental yield kita hasil daripada sewaan hartanah.

Cara Kira Pendapatan Tunai Daripada Hasil Sewaan

Untuk mendapatkan pengiraan pendapatan tunai dari hasil sewaan yang betul, kita perlu memasukkan kos bulanan dan bayaran ansuran bulanan.

Pendapatan sewaan bulanan : RM1,500
Kos Bulanan : RM300
Ansuran Bulanan : RM1,200

Formula : RM1,500 – RM300 – RM1,200 : RM0.

Pulangan keuntungan adalah apabila pendapatan sewaan bulanan kita ditolak dengan kos bulanan dan ansuran bulanan.

Untuk mendapatkan rental yield yang selesa, ianya tidak bergantung kepada jenis hartanah semata-mata.

Kita perlu mengira kos-kos yang bakal kita bayar di masa hadapan secara terperinci dan fikirkan cara untuk mengurangkan dan menjimatkan kos-kos tersebut.

Lebih rendah kos-kos yang kita perlu bayar, lebih tinggi pendapatan dalam sewaan hartanah.

Sebelum membeli hartanah untuk didiami pun, kita boleh mula mengira potensi rental yield yang boleh diperolehi sekiranya kita berminat untuk membuat pelaburan hartanah di masa hadapan.



Source link