Uncategorized

#AWANITA: 5 wanita beriltizam tinggi ini lebih hebat berbanding lelaki

#AWANITA: 5 wanita beriltizam tinggi ini lebih hebat berbanding lelaki 1



#AWANITA: 5 wanita beriltizam tinggi ini lebih hebat berbanding lelaki 2

SEJAK bersiaran Ogos tahun lalu, program DIAN yang disiarkan di Astro AWANI sudah menampilkan lebih 30 insan-insan luar biasa yang memiliki aspirasi untuk membuat perubahan positif dalam masyarakat.

Sempena Hari Wanita Antarabangsa 2019, kami menampilkan semula lima wanita beriltizam tinggi yang pernah kami bawakan menerusi rancangan DIAN. 

Hayati Ismail 
Pengarah Operasi Food Aid Foundation

Wanita ini sebenarnya sebenarnya sudah lama berkecimpung dalam bidang kemasyarakatan tetapi mengambil keputusan untuk memberikan fokus sepenuhnya dalam bidang ini apabila mula menyertai Food Aid Foundation sejak 2015.

Misi beliau ialah untuk menyelamatkan sebanyak mungkin makanan lebihan dari premis-premis perniagaan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Selain membantu mengurangkan masalah nutrisi, ia juga dapat kurangkan masalah pembaziran makanan di negara ini.

Salina Ahmad
Pengasas Suri Inspirasi

Cabaran hidup sebagai ibu tunggal mendorong Salina Ahmad untuk mengusahakan sebuah perusahaan sosial yang bukan sahaja menyediakan peluang rezeki untuk beliau dan anak-anak tetapi memberikan pendapatan kepada wanita-wanita lain juga.

Perusahaan ini beroperasi di Kelang dan menyediakan peluang ekonomi kepada lebih 30 orang ibu tunggal sejak ia memulakan operasi pada 2016.

 

Fazleena Hishamuddin
Aktivis teater

Namanya mungkin tidak sepopular pelakon-pelakon lain, tetapi bagi komunti seni teater tempatan, Fazleena Hishamuddin adalah antara sosok besar yang cukup disegani.

Dikenali sebagai penulis buku puisi dan pemuitis, penulis “Seksi Ovari” ini giat berlakon dan mengarah beberapa naskhah teater yang sudah dipentaskan di beberapa lokasi di seluruh negara.

Kini, setelah lebih 15 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni pentas, sudah tiba masanya Fazleena tampil mencari bakat-bakat baharu yang bakal meneruskan legasinya.

Cuma bezanya dengan pencarian bakat lain yang sering diadakan di studio-studio latihan, Fazleena nekad untuk masuk ke rumah-rumah anak yatim bagi mencari bakat-bakat baharu untuk digilap dan ditonjolkan dalam karyanya.

Munirah Farhana Mah Hassan
Pengurus KL Braille Resources

Akses kepada bahan bacaan merupakan satu masalah besar di kalangan orang cacat penglihatan yang masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

Ini mendorong KL Braille Resources untuk meningkatkan usaha pencetakan buku braille dengan sasaran lebih 20 buku setahun.

Ketika ini KL Braille Resources banyak mencetak buku teks dan bahan bacaan am untuk golongan kanak-kanak.

Kita dengarkan perkongsian Pengurus KL Braille Resources Munirah Farhana Mah Hassan, wanita berjiwa besar yang menjadi tulang belakang kepada usaha murni ini.

 

Siti Rahayu Baharin
Pengasas Buku Jalanan Chow Kit

Hasil asuhan ibu bapa yang sentiasa menitikberatkan belas ihsan kepada insan lain, pensyarah muda ini tampil kehadapan memperjuangkan peluang pendidikan kepada kanak-kanak marginal di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Hasil iltizam beliau dan rakan-rakan, mereka berjaya menubuhkan sebuah sekolah, khusus untuk kanak-kanak tanpa dokumen di ibu kota. Ini kisah Siti Rahayu Baharin

Semoga ini jadi inspirasi kekuatan wanita untuk semua. Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2019.





Source link