Artikel Terkini

Bank Muamalat lantik Tajuddin Atan sebagai pengerusi baharu



KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd melantik Datuk Seri Tajuddin Atan sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa Rabu, menggantikan Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid yang tempoh perkhidmatannya berakhir pada Selasa.

Sebelum ini, Tajuddin berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Bursa Malaysia Bhd antara 2011 dan 2019, dan sebelum itu, beliau memegang jawatan kepimpinan di RHB Banking Group, Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan Bank Simpanan Nasional.

Bagi mengumumkan pelantikan itu dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata di bawah kepimpinan Tajuddin sebagai pengerusi baharu, bank berhasrat untuk terus menawarkan budaya risiko pematuhan Syariah yang kukuh untuk menjadi penyedia perkhidmatan kewangan Islam pilihan di negara ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Mohd Munir atas sumbangan dan khidmatnya yang amat berharga kepada bank terutamanya dalam menerajui pelaksanaan strategi baharu yang telah meletakkan Bank Muamalat di landasan yang tepat untuk mencapai prestasi mampan,” katanya.

Bank Muamalat adalah 70 peratus milik DRB-Hicom Bhd dan 30 peratus oleh Khazanah Nasional Bhd.

— BERNAMA





Source link

Related Posts