Artikel Terkini

Bank Muamalat, Standard Chartered, Public Bank turun kadar faedah



KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd akan menurunkan Kadar Asas (BR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) sebanyak 25 mata asas, masing-masing kepada 2.56 peratus dan 5.56 peratus berkuat kuasa 13 Julai ini.

Ini akan memberi kesan kepada semua pakej pembiayaan kadar terapung yang disandarkan kepada BR dan BFR selain kadar deposit akaun-i jangka tetap berikutan semakan Kadar Dasar Semalaman (OPR), kata kumpulan perbankan Islam itu dalam kenyataan hari ini.

“Penurunan itu akan merendahkan kos pembiayaan dan menyebabkan peningkatan pendapatan boleh guna kepada pengguna. Kami berharap ini akan mendorong perbelanjaan dan merancakkan ekonomi domestik,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Kamarudin.

Beliau berkata Bank Muamalat akan terus menguruskan aset dan liabilitinya dengan penuh tanggungjawab di samping menyokong inisiatif pertumbuhan ekonomi semasa.

Sementara itu, Standard Chartered Malaysia and Standard Chartered Saadiq juga turut menurunkan BR kepada 2.27 peratus dan BLR kepada 5.45 peratus berikutan pengurangan.

Dalam satu kenyataan, ia berkata semakan turun sebanyak 25 mata asas akan berkuat kuasa pada 14 Julai, kadar simpanan tetap dan kadar faedah i-deposit/keuntungan juga akan dikurangkan.

Dalam pada itu, Public Bank Bhd dan Public Islamic Bank juga menurunkan BR dan BLR kepada 0.25 peratus berkuat kuasa pada 10 Julai.

Kadar deposit tetap Public Bank akan turut dilaraskan sebanyak 0.25 peratus, pada tarikh yang sama.

Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia baru-baru ini mengurangkan OPR untuk kali keempat tahun ini sebanyak 25 mata asas kepada 1.75 peratus.

Langkah itu dijangka akan memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepatkan kadar pemulihan ekonomi yang terjejas akibat penularan COVID-19.

— BERNAMA





Source link

Related Posts