Artikel Terkini

Bank Negara Malaysia Turunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Kepada 2.5% Bagi Merancakkan Ekonomi


Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus. Dengan itu, kadar koridor tertinggi dan terendah bagi OPR masing-masing diturunkan kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus. 

Keadaan ekonomi global telah merosot dalam tempoh kebelakangan ini. Wabak COVID-19 yang sedang menular telah mengganggu aktiviti pengeluaran dan aktiviti yang berkaitan dengan perjalanan, terutamanya di rantau ini. Hal ini juga telah mendorong kepada kegiatan penghindaran risiko yang lebih ketara, lantas mengakibatkan keadaan kewangan menjadi lebih ketat dan mendadak semula volatiliti pasaran kewangan.

Risiko kepada prospek pertumbuhan global telah meningkat, terutamanya dalam tempoh terdekat. Walau bagaimanapun, beberapa negara telah melaksanakan tindak balas dasar.  Dengan jangkaan pelaksanaan beberapa langkah dasar, tindakan ini dijangka boleh mengurangkan impak ke atas ekonomi akibat wabak COVID-19.

Ekonomi Malaysia meningkat pada kadar yang sederhana sebanyak 4.3% pada tahun 2019. Pertumbuhan pada masa akan datang, khususnya pada suku pertama, akan terjejas oleh wabak COVID-19 terutamanya dalam sektor yang berkaitan pelancongan dan sektor perkilangan. Kelemahan dalam sektor pertanian juga dijangka berterusan pada suku pertama.

Pada tahun 2020, aktiviti sektor swasta dan sektor awam dijangka terus menyokong pertumbuhan. Perbelanjaan isi rumah diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih perlahan dalam keadaan pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan yang sederhana. Aktiviti pelaburan dijangka mencatatkan pemulihan yang sederhana, disokong oleh projek-projek sektor awam dan swasta yang baharu dan sedang dilaksanakan.

Pakej rangsangan ekonomi 2020 juga akan menyediakan sokongan kepada kegiatan ekonomi. Walaupun pertumbuhan dalam negeri dijangka bertambah baik secara beransur-ansur pada separuh tahun kedua, terdapat risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca terutamanya daripada sifat evolusi dan kesan berpanjangan daripada wabak COVID-19 serta kelemahan yang berterusan dalam sektor yang berkaitan komoditi.

Pada tahun 2020, inflasi keseluruhan dijangka mencatatkan purata lebih tinggi tetapi kekal pada kadar yang sederhana. Trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung pada perkembangan harga minyak dan komoditi sedunia serta masa pemansuhan harga siling bagi harga runcit bahan api domestik. Inflasi asas dijangka lebih sederhana, dalam keadaan tekanan permintaan yang terhad meskipun kegiatan ekonomi terus berkembang.

Pengurangan dalam OPR bertujuan untuk menyediakan persekitaran monetari yang lebih akomodatif bagi menyokong jangkaan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik dalam keadaan harga yang stabil. MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Sumber: Bank Negara Malaysia

Apa itu OPR?

Overnight Policy Rate (OPR) atau Kadar Dasar Semalaman adalah faedah yang dikenakan bagi pinjaman di antara bank. Untuk makluman, bank juga membuat pinjaman di antara satu sama lain.

Pendeposit membuat simpanan di bank dan bank akan menggunakan semula duit tersebut bagi tujuan memberikan pinjaman. Apabila pendeposit mengeluarkan duit secara mendadak dan bank kekurangan tunai, bank akan membuat pinjaman daripada bank lain dan dikenakan faedah.

4 Kesan Positif Penurunan OPR Kepada Orang Awam Dan Ekonomi

1. Faedah Pinjaman Turun

Memandangkan kadar asas pinjaman telah dikurangkan, peminjam hartanah sebenarnya menikmati penurunan ansuran bulanan membolehkan mereka mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan.

2. Galak Akses Pembiayaan Pinjaman

Langkah menurunkan
OPR ini merupakan satu galakan dan peluang untuk ramai individu membuat permohonan
pembiayaan pinjaman hartanah kerana kadar faedah telah diturunkan.

Dengan kemudahan
akses pembiayaan pinjaman, maka lebih banyak rakyat Malaysia yang akan
menggunakan peluang ini untuk membeli hartanah.

3. Rangsangan Ekonomi

Jawatankuasa Dasar
Monetari mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan bekalan wang di dalam
negara.

Dengan penurunan
OPR ini, ekonomi negara dijangka akan lebih terangsang kerana rakyat kini
memperoleh lebih banyak wang untuk di belanjakan.

4. Industri Hartanah

Jualan hartanah
akan meningkat kerana akses pembiayaan pinjaman hartanah menjadi lebih mudah
dan kadar faedah turut telah dikurangkan.

Langkah dan galakan Bank Negara Malaysia ini sedikit sebanyak membantu pemaju hartanah menjual unit hartanah mereka dengan lebih mudah dan cepat.



Source link