Artikel Terkini

Bank Negara turunkan kadar faedah



KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 1.75 peratus.

Ia menjadikan kadar OPR kini adalah yang terendah sejak 2004.

“Penurunan kadar OPR akan menyediakan rangsangan dasar tambahan bagi memacu tahap pemulihan ekonomi,” kata bank pusat.

Pemotongan itu juga menjadikan ia pelonggaran dasar keempat yang dilakukan bank pusat bagi tahun ini.

BNM berkata, bagi Malaysia, aktiviti ekonomi menjunam pada suku kedua tahun ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang COVID-19.

“Susulan pembukaan ekonomi secara berperingkat sejak awal Mei, aktiviti ekonomi sudah mula pulih bermula suku kedua.

“Pakej rangsangan di samping langkah sokongan monetari dan kewangan, akan terus menyokong penambahbaikan unjuran ekonomi.

“Pemulihan ekonomi domestik dijangka menerima sokongan pemulihan berperingkat ekonomi global,” kata kenyataan itu.

Bank pusat juga memberitahu, inflasi bagi tahun ini diunjuran negatif susulan kelemahan harga minyak global.

“Impak COVID-19 terhadap ekonomi global adalah sangat teruk. Keadaan ekonomi global kekal lemah dengan unjuran pertumbuhan negatif tahun ini.

“Meskipun wujud ruang pemulihan pada suku kedua, namun pasaran buruh yang melemah secara keseluruhan serta sukap berhati hati isi rumah serta perniagaan mampu menjejaskan pemulihan,” jelas kenyataan berkenaan.

Tambah BNM, beberapa ekonomi utama dunia turut mula melonggarkan langkah kawalan susulan pandemik COVID-19 sekali gus membawa kepada pembukaan semula aktiviti ekonomi.

Selain itu keadaan kewangan juga semakin bertambah baik namun risiko masih wujud.

“Risiko penurunan unjuran global masih wujud terutama apabila gelombang pandemik meningkat kembali yang memerlukan langkah kawalan,” tambah bank pusat.





Source link

Related Posts