Uncategorized

Bank Pusat Global Terpaksa Memotong Kadar Faedah


Bank pusat Amerika Syarikat (Federal Reserve) seperti yang dijangka telah memotong kadar
faedahnya sebanyak 25 mata asas pada bulan Julai yang lalu. Pemotongan ini
adalah yang pertama sejak kemelesetan ekonomi lebih sedekad yang lalu dan
seakan menunjukkan ‘kadar faedah rendah’ akan kekal dalam tempoh yang lama.

Tidak kurang juga yang meramalkan pemotongan kadar
faedah sebanyak 50 mata asas dengan Presiden Donald Trump kerap memberi tekanan
dan kritikan kepada Federal Reserve (The Fed) untuk melonggarkan dasar.

Bukan sahaja di Amerika Syarikat, bank pusat lain di dunia juga menurunkan kadar faedah mereka, contohnya Bank Negara Malaysia (BNM) yang telah menurunkan kadar OPR (Overnight Policy Rate) bulan Mei yang lalu. Bank pusat New Zealand (Reserve Bank of New Zealand) pula mengejutkan pemerhati pasaran apabila memotong kadar tunai (cash rate) sebanyak 50 mata asas kepada 1%. Terbaru, bank pusat India, Thailand dan Filipina juga telah menurunkan kadar faedah pada bulan ini.

Walaupun tidak semua bank pusat di dunia menurunkan
kadar faedah, tetapi kesemuanya cenderung untuk melonggarkan dasar monetari
untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi masing-masing disebabkan aktiviti ekonomi
yang semakin perlahan terutamanya China.

Isu Geopolitik Punca Pemotongan Kadar Faedah

Apabila meneliti perkembangan ekonomi sejak awal tahun 2018, kita bolehlah meletakkan puncanya kepada Presiden Donald Trump disebabkan dasar ekonomi yang terlalu melindungi (protectionism) ekonomi Amerika Syarikat. Hasilnya China dikenakan tarif import terhadap hampir kesemua eksportnya ke Amerika Syarikat. China pula tidak hanya berdiam diri dan menggunakan senjata perdagangannya menyerang semula ekonomi Amerika Syarikat.

Serangan AS
tidak terhenti di situ sahaja, Zon-Eropah juga berhadapan dengan serangan
perdagangan dan beberapa negara yang lain.

Hasilnya? Pertumbuhan ekonomi dunia semakin perlahan dan memberi kesan negatif kepada pasaran kewangan global. Lebih teruk lagi, ramai penganalisa yang menjangka kemelesetan ekonomi akan berlaku dalam tempoh terdekat.

Bank Pusat Terpaksa Melonggarkan Dasar

Menurut
tinjauan yang dibuat terhadap pegawai kewangan di Amerika Syarikat pada Jun
2019, pertumbuhan ekonomi paling panjang dalam sejarah AS mungkin akan
berakhir.

Kebimbangan mereka terhadap ketidaktentuan ekonomi dan perang dagang
berkemungkinan akan mengakhiri pertumbuhan positif sejak sedekad yang lalu.

Hampir separuh daripada mereka iaitu 48% daripada pegawai tinggi kewangan di Amerika Syarikat meramalkan kemelesetan akan berlaku pada pertengahan tahun 2020. Dan sebanyak 69% daripada mereka meramalkan pertumbuhan negatif akan bermula pada penghujung tahun hadapan.

Maka disebabkan kebimbangan inilah, bank-bank pusat di
seluruh dunia cenderung untuk melonggarkan dasar monetari dengan menurunkan
kadar faedah.

Memotong kadar faedah ke paras rendah dapat menurunkan kos pinjaman dan meningkatkan bekalan wang di dalam ekonomi yang mana bertujuan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi di sesebuah negara. Kadar faedah yang rendah dapat memangkin pertumbuhan di mana pengguna dan perniagaan dapat berbelanja dan membuat pelaburan baru.

Cabaran Dalam Menurunkan Kadar Faedah

Lee Heng Guie pengarah Pusat Kajian Sosio-Ekonomi (SERC) berkata, “Dengan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat disebabkan ketegangan perang perdagangan, kami menjangka kadar faedah global akan kekal rendah dalam tempoh 12 bulan akan datang untuk melindungi ekonomi daripada sebarang risiko yang mampu memberi kesan kepada ekonomi global.

Ia relevan apabila mengatakan ekonomi dunia sudah terbiasa dengan ‘kadar faedah rendah’ sejak 10 tahun lalu yang banyak membantu pemulihan dan perkembangan ekonomi. Walaubagaimanapun, kadar faedah yang rendah dalam jangka panjang mempunyai kesan buruk kepada ekonomi itu sendiri.

Dengan keadaan semasa pasaran yang mudah terkesan, ia sebenarnya memberi tekanan kepada bank pusat. Bank pusat mempunyai beberapa alat yang boleh digunakan untuk merancakkan semula kegiatan ekonomi tetapi dengan keadaan fiskal dan hutang yang tinggi di sesetengah negara menyebabkan ia terdedah kepada risiko yang lain, demikian kata Lee Heng Guie.

Mitul Kotecha seorang penganalisa pasaran di bank pelaburan TD Securities pula berkata, ancaman terhadap ekonomi seperti perang dagang dan Brexit menyukarkan autoriti untuk hanya bergantung kepada dasar monetari.

“Pada pendapat saya, pemotongan kadar faedah akan
membantu, tetapi sama ada ia mencukupi untuk melawan tekanan negatif dan
pertumbuhan global yang perlahan masih menjadi perdebatan,” kata beliau
kepada CNBC.

Dalam hal
ini, dasar monetari juga perlu diimbangi dengan dasar fiskal oleh kerajaan
dengan tambahan perbelanjaan ataupun pemotongan cukai.

Penganalisis ekonomi di Societe Generale, Kunal Kumar Kundu berkata; ia memerlukan dua perkara iaitu perbelanjaan kerajaan yang lebih besar dan kadar faedah rendah yang mana akan lebih efektif dalam menaikkan pertumbuhan dalam situasi semasa di mana perniagaan banyak terkesan oleh perang perdagangan AS-China.

Presiden The Fed cawangan Boston pula berpendapat
bank pusat perlu berhati-hati dan tidak menurunkan kadar faedah terlalu rendah
kerana ia akan menyebabkan pemilik rumah dan perniagaan mengambil hutang lebih
banyak, seterusnya menjadikan kemelesetan lebih menyakitkan.

Ada benarnya apa yang dikatakan oleh Rosengren, dalam
usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi bank pusat akan membanjiri ekonomi dengan
wang yang lebih murah melalui pemotongan kadar faedah. Murah di sini bermaksud,
kos untuk meminjam daripada bank menjadi lebih murah.

Persoalannya sekarang bagaimana jika kemelesetan tetap
berlaku walaupun dengan kadar faedah yang kekal rendah. Ini akan menyukarkan
bank pusat kerana kekurangan alat dalam dasar monetari untuk menaikkan semula
pertumbuhan ekonomi. Inilah cabaran besar kepada bank pusat pada hari ini
berbanding sedekad yang lalu.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.nytimes.com/2019/08/17/upshot/how-the-recession-of-2020-could-happen.html
  2. https://www.cbsnews.com/news/nearly-half-of-u-s-financial-chiefs-expect-economic-recession-within-a-year/
  3. https://www.theedgemarkets.com/article/state-nation-say-hello-extended-low-interest-rates
  4. https://www.cnbc.com/2019/08/21/interest-rate-cuts-in-asias-emerging-markets-may-not-be-enough.html
  5. https://www.marketwatch.com/story/feds-rosengren-says-cutting-interest-rates-now-would-make-next-recession-worse-2019-08-19

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen





Source link