Artikel Terkini

Bank Switzerland, Bank Yang Paling Selamat Dan Dipercayai


Sumber gambar : uk.finance.yahoo.com

Kita sering melihat di dalam filem Hollywood di mana kebanyakan penjenayah atau ahli perniagaan menyimpan wang mereka di Bank Switzerland untuk mengelakkan diri daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Jadi persoalan yang timbul di benak kepala kita adalah “Benarkah bank di Switzerland ini selamat untuk menyimpan duit, walaupun untuk seorang penjenayah”?

Mari kita kupas isu dan fakta mengenai Bank Switzerland yang menjadi pilihan orang kaya untk menyimpan duit di sana.

Duit Anda Selamat Di Bank Switzerland

Bank-bank yang terdapat Switzerland merupakan bank yang sangat terkenal di dunia dan merupakan bank yang menjaga privasi pelanggan mereka pada tahap yang paling tinggi. Oleh yang demikian, ia telah menjadi destinasi bagi ahli politik, jutawan dan artis untuk menyimpan wang mereka dengan jumlah yang besar tanpa diketahui oleh orang ramai.

Undang-undang yang sangat ketat telah digubal oleh Negara Switzerland menyebabkan bank negara tersebut boleh beroperasi di bawah akta kerahsiaan. Mereka tidak dibenarkan membuka maklumat para pelanggan mereka dengan sewenang-wenangnya kepada pihak ketiga.

Tidak seperti sesetengah bank terutamanya di Amerika Syarikat yang mana terpalit dengan isu pekerja di bank negara tersebut menjual maklumat peribadi pelanggan kepada pihak ketiga.

Asal-Usul Bank Switzerland Menjadi Tempat Penyimpanan Duit Yang Paling Selamat

Ianya berlaku selepas krisis yang melanda pada tahun 1932, di mana  Perancis pada ketika itu telah membuat operasi besar-besaran terhadap Bank Switzerland yang berada di Paris. Dua orang pekerja di bank sana membocorkan maklumat pelanggan mereka iaitu rakyat Perancis yang tidak membayar cukai kepada pihak kerajaan.

Sejak daripada peristiwa tersebut, Switzerland telah menggubal undang–undang yang ketat secara bertulis yang akan mengenakan tindakan terhadap pekerja bank yang memberi maklumat pelanggan mereka tanpa kebenaran pelanggan mereka.

Selain itu juga, Switzerland merupakan negara yang paling stabil daripada segi ekonomi. Negara ini merupakan di antara nagara yang berpendapatan tinggi di Eropah dan juga dunia.

Jika sebelum ini kita hanya mengenali Switzerland sebagai negara pengeluar jam tangan terkemuka di dunia, sebenarnya Switzerland ini merupakan sebuah negara industri dan mempunyai ekonomi yang sangat kukuh.

Walaupun negara ini kecil sahaja daripada segi saiz, Switzerland mempunyai 14 syarikat yang memasuki carta 500 syarikat terbesar di dunia. Sebagai perbandingan, Jerman mempunyai 29 buah syarikat terbesar di dunia dengan kadar penduduk sebanyak 83 juta sedangkan Switzerland mempunyai penduduk hanya sekitar 8.5 juta orang.

Selain daripada kemakmuran ekonomi yang sangat luar biasa, Switzerland juga terkenal sebagai di antara negara yang paling selamat di dunia. Kadar jenayah yang rendah dan juga merupakan negara yang tidak mempunyai musuh.

Sejak kurun ke-19, Switzerland tidak pernah menyokong mana-mana pihak dan menjadikan negara tersebut sebagai negara yang neutral melalui penjanjian Vienna pada tahun 1815.

Dengan tarikan yang begitu luar biasa, ramai penduduk dunia yakin simpanan mereka akan selamat jika berada di Switzerland.

Bagaimana Pula Dengan Seorang Penjenayah?

Jadi bagaimana jika seseorang penjenayah menyimpan duit di negara tersebut? Adakah mereka juga akan dilindungi oleh kerajaan Switzerland?

Walaupun negara ini terkenal dengan pelanggan yang menyimpan duit di dalam jumlah yang besar, Bank Switzerland ini masih lagi tertakluk kepada undang-undang antarabangsa. Sekiranya seseorang itu didapati bersalah oleh makhamah negara mereka, segala maklumat peribadi pesalah tersebut boleh diakses oleh pihak pendakwaraya.

Kebanyakan penjenayah kolar putih ini menyimpan wang mereka di akaun bank Switzerland adalah disebabkan mereka ingin mengelakkan diri daripada membayar cukai kepada kerajaan mereka.

Kebayakan orang kaya yang tidak membayar cukai, sering kali menyimpan wang mereka di Switzerland kerana kelebihan tersebut. Walaupun mereka tidak membayar cukai, maklumat peribadi mereka boleh diakses jika kesalahan ini membuatkan mereka diklasifikasikan sebagai penjenayah di negara mereka.

Sumber Rujukan:



Source link