Artikel Terkini

Belum yakin melancong? Cuba secara maya dahulu



TIDAK berani untuk melancong dalam negara kerana bimbang jangkitan COVID-19?

Usah bimbang, terokai dan kenali terlebih dahulu destinasi pelancongan secara maya sebelum menjejakkan kaki anda ke lokasi berkenaan.

Menurut Presiden Produktiviti Pelancongan Nexus, Uzaidi Udanis, inovasi pelancongan maya atau virtual tourism ini antara kemudahan dunia digital yang dapat membantu pelancong membuat pilihan destinasi, sekali gus meningkatkan minat rakyat Malaysia untuk mula bercuti dalam negara.

“Pelancong sekarang ini sangat pintar, mereka lebih terdedah kepada media sosial, mereka hendak pengalaman, bukan setakat ambil gambar sahaja… jadi dengan virtual tourism ini kita memberi pengalaman yang baharu, yang unik.

“Apa pengalamannya? Storytelling, kenali tempat itu sebelum mereka pergi, boleh kenali orang tempatan, membuat kawan, berinteraksi dan sebagainya,” kata Uzaidi dalam temu bual eksklusif bersama Rancak TV, pada Rabu.

Katanya, sesetengah acara yang mendapat sambutan hebat sehingga tiketnya habis dijual dengan cepat juga dapat menarik minat pelancong domestik ke destinasi-destinasi kurang popular di dalam negara.

“Baru-baru ini, kita telah menganjurkan acara virtual tourism di Miri, Sarawak di mana kita menceritakan kisah cinta antara burung, Faridah dan Jimmy.

“Ramai orang tak tahu sebenarnya ada satu tragedi di Miri, dan ramai yang tidak pernah terfikir untuk pergi ke Miri, selepas sesi itu mereka rasa hendak pergi, hendak tengok dan alami sendiri tempat itu,” ujarnya.

Menurut beliau yang juga Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), inovasi ini antara inisiatif pemulihan sektor pelancongan di Malaysia yang sangat terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Kita (sektor pelancongan) berada dalam keadaan yang sangat sukar, namun bagaimana sukar sekali pun, kita kena yakinkan pelanggan-pelanggan kita, pelancong domestik supaya mereka melancong dan berbelanja. Kita juga kena yakinkan mereka yang produk pelancongan kita selamat untuk dikunjungi,” tambahnya.





Source link