Artikel Terkini

Bintulu Rangers bekal juadah berbuka buat penduduk Penan-Muslim sepanjang Ramadan



BINTULU: Sejumlah 30 keluarga dari perkampungan Penan-Muslim di Bintulu, Sarawak disantuni dengan juadah berbuka puasa melalui program Dapur Ramadan dikelolakan kelab sukan dan rekreasi, Bintulu Rangers.

Bantuan tersebut diagihkan pada Selasa bermula dengan sumbangan yang dikumpul daripada ahli kelab tersebut dan akan berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini.

Menurut anak kelahiran Pahang yang menjadi pencetus kepada inisiatif ini, Ahmad Ayub, makanan berkhasiat disediakan di rumahnya sendiri dalam menggerakkan usaha murni ini.

“Makanan yang diagihkan adalah berbeza setiap hari. Memandangkan sepanjang tempoh PKP ini saya ada banyak masa terluang kerana bekerja dari rumah, saya memanfaatkan sebaik mungkin bersama rakan-rakan untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya. 

Ujar Ahmad Ayub, setakat ini seramai 150 penduduk di kawasan berkenaan telah menerima agihan tersebut yang merangkumi Kampung Penan-Muslim, Kampung Baru dan beberapa tempat lain di Bintulu.

Sementara itu, bagi sukarelawan yang terlibat dalam bantuan berkenaan, Awang Abdul Hakim peluang menyediakan juadah tersebut dilihat sebagai satu usaha murni buat dirinya.

“Usaha ini dapat membantu golongan kurang berkemampuan terutama pada tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini,” kongsinya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Buat masa ini, kelab berkenaan berjaya mengumpul sumbangan yang terdiri daripada rakan-rakan di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

Dengan hasil sumbangan tersebut, mereka dapat membekalkan masakan juadah berbuka puasa kepada penduduk di kawasan berkenaan sehingga tempoh dua minggu.

Dalam masa sama, mereka turut menyeru orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh melayari laman Facebook, Bintulu Rangers untuk mendapatkan keterangan lanjut berkenaan program tersebut.





Source link