Artikel Terkini

4 Pengajaran Daripada Drama ‘Itaewon Class’

4 Pengajaran Daripada Drama 'Itaewon Class' 1

4 Pengajaran Daripada Drama 'Itaewon Class' 2

Inspirasi dalam hidup boleh datang dari pelbagai sumber. Drama pun rupa-rupanya ada yang boleh beri input yang baik, di antaranya drama Itaewon Class dari Korea Selatan.

Drama ini mengisahkan tentang Sae-ro-yi yang bertekad menjatuhkan syarikat industri makanan #1 di Korea iaitu Jangga Co. Geun-won, anak kepada pengerusi Jangga Co telah terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kematian bapa Sae-ro-yi namun atas pengaruh dan campurtangan bapanya, Geun-won telah terlepas dari hukuman dan sebaliknya Sae-ro-yi pula yang dipenjarakan.

Nama pun drama, memang tak lari daripada unsur-unsur fiksyen dramatik. Tapi banyak juga pengajaran berkaitan perniagaan, kewangan dan pelaburan yang boleh disesuaikan dalam dunia realiti kita pada hari ini.

1. Ketepikan Emosi Dalam Pelaburan

Walaupun Sae-ro-yi ingin melihat kejatuhan
Jangga Co, tapi apabila harga saham Jangga Co merudum disebabkan isu moral
Geun-won, Sae-ro-yi telah bertindak melaburkan wang pampasan insurans bapanya
dengan membeli saham Jangga Co.

Apabila ditanya, Sae-ro-yi menjawab dia yakin
Jangga Co adalah syarikat yang baik dan walaupun imejnya ketika itu sedikit
tercalar, namun nilai terasnya tidak berubah. Saham Jangga Co akhirnya telah
kembali melonjak dan memberi pulangan besar kepada Sae-ro-yi.

Dalam pelaburan, ketepikan soal emosi dan jangan biar perspektif peribadi yang tidak berkaitan dengan fundamental perniagaan mempengaruhi keputusan kita.

Dan tidak perlu pula terlalu sayang sesuatu pegangan sehingga kita membutakan mata apabila sampai masa ia perlu dilupuskan.

2. Kepentingan Takaful/Insurans

Apabila bapa Sae-ro-yi meninggal dunia, Sae-ro-yi kehilangan tempat bergantung dan tinggal sebatang kara. Apabila keluar dari penjara, dia meneruskan hidup dengan pampasan insurans bapanya dan wang tersebut juga menjadi salah satu faktor menjayakan rancangannya untuk tempoh 15 tahun ke hadapan dalam menumbangkan legasi keluarga Jang.

“Sanggupkah kita tinggalkan anak isteri yang kehilangan tempat bergantung dengan hutang apabila kita pergi nanti?”

Ayat keramat ejen-ejen takaful di luar sana. Kadang-kadang mungkin agak menjengkelkan tapi sebenarnya penting untuk kita fikirkan dan bertindak sebelum terlambat.

3. Masa Terbaik Untuk Mula Melabur Adalah SEKARANG

Sae-ro-yi yang berumur awal 20-an ketika
menerima wang insurans bapanya tidak berfoya-foya dengan wang tersebut.
Sebaliknya dia telah mendapatkan nasihat dari rakannya seorang pengurus dana
lalu melaburkan sebahagian besar dari wang tersebut untuk jangka masa panjang.

Hasilnya, beberapa tahun kemudian pelaburan tadi telah meningkat nilai berlipat kali ganda dan telah menjadi senjata ampuh untuk Sae-ro-yi bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam melaksanakan misi menumbangkan Jangga Co.

Maka janganlah bertangguh untuk mula melabur.
Ilmu, pengalaman beserta pulangannya sekali akan datang seiring dan pastinya
lebih berharga dari yang mampu dikutip dari kelas berbayar.

4. Dengar Guruh Di Langit, Jangan Air Di Tempayan Dicurahkan

Apabila startup restoran yang diasaskan oleh Sae-ro-yi ditawarkan pelaburan bernilai billion Won, mereka terus mengambil keputusan untuk secara agresif membuka cawangan baru di banyak tempat sekaligus.

Namun apabila pembukaan cawangan baru telah mula berjalan dan jutaan Won telah dibelanjakan, pelaburan yang dinantikan tidak menjadi kenyataan menyebabkan situasi menjadi di luar kawalan.

Dalam dunia realiti, kita dapat melihat situasi hampir sama sedang menimpa syarikat-syarikat terkemuka dunia. Syarikat rangkaian perhotelan OYO sebagai contoh, baru sahaja pengasasnya diangkat sebagai billionair muda berwawasan dan dilihat terus agresif meluaskan empayarnya.

Namun kini banyak hotel-hotel persendirian yang bernaung di bawah rangkaian OYO sedang menghadapi masalah aliran tunai yang serius dan berisiko untuk bankrap akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia.

Akhir kata, tak salah nak menonton drama. Tapi
pilihlah drama yang berisi dan boleh memberi nilai tambah dalam kehidupan kita.

Ditulis oleh Izzudeen Razali. Artikel ini bukan saranan untuk menonton drama yang disebutkan kerana masa kita terutama di bulan Ramadan ini lebih selayaknya diisi dengan amalan-amalan kerohanian dan pemantapan diri. Tulisan Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana organisasi.



4 Pengajaran Daripada Drama 'Itaewon Class' 2

Source link