Artikel Terkini

5 Kes Hiperinflasi Paling Teruk Dalam Sejarah

5 Kes Hiperinflasi Paling Teruk Dalam Sejarah 1

5 Kes Hiperinflasi Paling Teruk Dalam Sejarah 2

Dalam artikel sebelum ini kita telah sedikit sebanyak menyentuh tentang hiperinflasi. Kalau anda terlepas artikel tersebut, jemput baca Apakah Itu Hiperinflasi? Bagaimana Ianya Berlaku Dan Apakah Kesannya?

Kalau nak tahu, Tanah Melayu juga pernah menghadapi krisis hiperinflasi yang teruk, iaitu ketika Perang Dunia ke-2. Ia berlaku pada tahun 1942-1945 apabila tentera Jepun mencerobohi Tanah Melayu.

Ketika itu, kerajaan Jepun telah memperkenalkan matawang baru di Tanah Melayu yang dipanggil dolar, sama seperti matawang yang wujud sebelum itu iaitu Malayan Dollar.

5 Kes Hiperinflasi Paling Teruk Dalam Sejarah 3
Sumber : https://commons.wikimedia.org

Penduduk Tanah Melayu ketika itu memanggil matawang tersebut sebagai duit pisang, kerana terdapat motif buah pisang pada wang kertas 10 dolar.

Pencetakan wang secara berleluasa oleh kerajaan Jepun, penyebaran wang palsu, dan kekalahan Jepun dalam peperangan telah menyebabkan nilai duit pisang jatuh teruk dan seterusnya langsung tidak bernilai setelah tentera Jepun menyerah kalah.

Sebenarnya ada kes hiperinflasi yang lebih teruk dari kisah hiperinflasi Tanah Melayu. Mari kita singkap episod-episod hiperinflasi yang paling teruk dalam lipatan sejarah dunia.

5. GREECE, 1944

5 Kes Hiperinflasi Paling Teruk Dalam Sejarah 4
Sumber : https://aroundtheworldin80currencies.com

Wang kertas ini berasal dari era Perang Dunia II, 1944. Betapa teruknya hiperinflasi Greece pada tahun 1944 sehingga inflasi mencecah 18% sehari. Orang kaya pun berpeluh kalau nilai kekayaan mereka menjadi separuh setiap 5-6 hari!

Kalau hari ini duit mereka boleh membeli 10 ekor ayam, minggu depan mereka hanya dapat beli 5 ekor ayam sahaja dengan jumlah wang yang sama.

Kalau anda perasan, hiperinflasi yang berlaku di Greece terjadi pada waktu yang sama dengan hiperinflasi yang berlaku di Tanah Melayu. Ya, anda betul kalau anda meneka perang sebagai punca berlakunya hiperinflasi di Greece.

Hiperinflasi yang mulanya dicetuskan oleh kelembapan perdagangan diburukkan lagi dengan pencerobohan Kuasa Paksi terhadap Greece, kerana mereka dipaksa untuk membiayai 400 ribu askar penceroboh.

Aktiviti ekonomi Greece juga merudum, menyebabkan kerajaan tiada sumber pendapatan dan mula mencetak wang dengan agresif. Pada bulan November 1944, inflasi mencecah sehingga 13,800%!

Akhirnya, Greece berjaya pulih dengan merombak semula perbelanjaan kerajaan dan memperkenalkan matawang baru.

4.
REPUBLIK WEIMAR, 1923

Tak pernah dengar nama ini kan? Ini adalah kerana republik tersebut sudah tidak wujud selepas tahun 1933, yang tinggal kini hanyalah sebuah bandar di Jerman yang bernama Weimar.

Keadaan ekonomi pasca-perang di Weimar menjadi amat getir, berpunca dari beberapa faktor: paksaan untuk membayar kos pembaikian oleh negara Bersekutu, sekatan ekonomi oleh Perancis dan Belgium, serta pencetakan wang secara berleluasa.

Republik
Weimar juga tidak dibenarkan untuk menggunakan matawang sendiri untuk membayar
kos membaikpulih kerana nilainya telah jatuh teruk. Akhirnya ia terpaksa
menjual matawang sendiri dengan banyaknya dan menyebabkan nilainya semakin
jatuh.

Di
kemuncak krisis, harga barang naik sebanyak 21% sehari dan setinggi 29,500%
sebulan! Harga barang mula menjadi stabil selepas matawang baru diperkenalkan
dan pemiutang-pemiutang Jerman setuju untuk merunding semula pelan pembayaran
hutang.

3.
YUGOSLAVIA, 1994

Yugoslavia merupakan satu lagi wilayah yang sudah tidak wujud, akibat perpecahan kepada beberapa negara: Serbia dan Montenegro, Slovenia, Croatia, Bosnia dan Herzegovina, dan Macedonia.

Banyak sebab kenapa Yugoslavia berpecah, antaranya kejatuhan Soviet Union, ketidakstabilan politik serantau, dan semangat perkauman yang mencetuskan perang saudara yang berlarutan.

Akibat aktiviti ekonomi yang terjejas dek konflik, kerajaan mula mencetak wang untuk menampung perbelanjaan. Tetapi perbelanjaan yang tidak terkawal, tidak efisyen, serta penuh korupsi menyebabkan masalah ekonomi menjadi lebih teruk.

Akibat konflik tersebut juga, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengenakan sekatan ekonomi terhadap Yugoslavia. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Setiap hari, harga barang dianggarkan naik sebanyak 65%, menyebabkan harga berganda setiap 2 hari. Inflasi bulanan paling teruk pernah direkodkan pula mencapai 313,000,000%.

Tak tercapai dek akal, tapi angka ini bukanlah yang tertinggi dalam sejarah.

Teruskan membaca!

2.
ZIMBABWE,
2008

Di tempat kedua pula merupakan kes hiperinflasi yang berlaku di Zimbabwe pada tahun 2008. Setiap hari harga barang naik sekali ganda kerana inflasi mencecah 98% sehari.

Tindakan kerajaan melancarkan program merombak semula hakmilik tanah dan merampas tanah dari penduduk Zimbabwe berkulit putih menyebabkan sektor perladangan menjadi perlahan dan menjejaskan ekonomi.

Presiden Mugabe, iaitu presiden ketika itu, memburukkan lagi keadaan dengan mencetak wang untuk membayar hutang IMF, gaji pekerja dan membiayai peperangan di Congo.

Hiperinflasi yang mencecah setinggi 79,000,000,000% pada bulan November 2008 akhirnya tamat setelah Zimbabwe dollar sudah tidak mempunyai nilai dan digantikan dengan US dollar dan South African rand.

1.
HUNGARY, 1946

Dah bersedia untuk kisah hiperinflasi yang
paling teruk dalam sejarah? Mari kita lihat.

Punca
utama hiperinflasi Hungary ini kita boleh agak, kerana berlaku pada sekitar
waktu yang sama dengan Tanah Melayu dan Greece. Peperangan menyebabkan Hungary
membuat banyak pinjaman untuk membantu sekutunya iaitu Jerman, namun kekalahan
Jerman menyebabkan hutang tersebut tidak dapat dibayar kembali kepada Hungary.

Tidak cukup dengan itu, Hungary juga dipaksa untuk membayar kos membaikpulih kepada Soviet. Kerajaan Hungary yang terdesak ketika itu telah mencetak wang secara agresif tanpa mengendahkan kesannya terhadap ekonomi.

Kerosakan kepada infrastruktur yang begitu teruk termasuklah kerosakan bangunan, rel kereta api dan jalanraya menyebabkan sesuatu yang dinamakan kejutan bekalan (supply shock). Kekurangan bekalan menyebabkan harga barangan meningkat dengan laju.

Pada tahun
1946, inflasi paling teruk pernah direkodkan 
mencapai setinggi 13,600,000,000,000,000%. Setiap 16 jam, harga barang
naik sekali ganda.

Akhirnya
kerajaan mengambil langkah untuk menstabilkan matawang dengan merombak sistem
cukai, membawa pulang simpanan emas dari negara lain, dan memperkenalkan
matawang baru yang nilainya disokong oleh emas.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana organisasi.

5 Kes Hiperinflasi Paling Teruk Dalam Sejarah 5
5 Kes Hiperinflasi Paling Teruk Dalam Sejarah 6

5 Kes Hiperinflasi Paling Teruk Dalam Sejarah 2

Source link