Artikel Terkini

5 Masalah Yang Timbul Akibat Lewat Membahagikan Harta Pusaka

5 Masalah Yang Timbul Akibat Lewat Membahagikan Harta Pusaka 1

5 Masalah Yang Timbul Akibat Lewat Membahagikan Harta Pusaka 2

Di antara kesalahan yang paling besar dalam masyarakat Melayu adalah melambat-lambatkan urusan harta pusaka arwah. Perbincangan mengenai urus pusaka adalah suatu perkara yang taboo atau boleh dikatakan aib jika dibangkitkan oleh salah seorang waris.

Membangkitkan persoalan urus pusaka apabila berlaku kematian dalam keluarga disamakan dengan gelojoh dan tidak sabar nak dapatkan harta.

“Kubur arwah masih merah, kau dah nak cerita pasal harta pulak?”, dialog yang sering kita dengar apabila seseorang itu mati.

Tanpa disedari, sebenarnya melambat-lambatkan urusan harta pusaka arwah
akan membawa kepada banyak masalah.

Saya percaya, setiap dari kita pasti pernah berjumpa sekurang-kurangnya seorang yang mempunyai masalah urus pusaka ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Bahkan ada yang telah meninggal berpuluh tahun masih tidak diuruskan harta pusakanya.

Apa kata kita tengok 5 masalah yang akan timbul sekiranya kita sengaja melambat-lambatkan urusan harta pusaka.

1. Waris Terambil Atau Termakan Harta Pusaka Secara Batil

Kesan buruk yang pertama sekali terjadi jika harta pusaka tidak diagihkan segera, adalah pasti ada waris yang terguna sebahagian daripada harta pusaka tersebut secara batil. Bagi memudahkan kefahaman tentang mengambil harta secara batil, saya datangkan sebuah cerita.

Ali telah mati dan meninggalkan 5 orang anak. Rumah pusaka arwah Ali
tidak diuruskan pemindahan hak milik dan dibiarkan saja nama Ali di atas geran
tersebut kerana tiada seorang pun yang ingin tinggal di situ.

Akhirnya mereka bersepakat untuk menyewakan rumah pusaka arwah ayah
mereka; duit sewa diinfaqkan kepada surau yang terletak tidak jauh dari rumah
tersebut. Abu si adik bongsu yang tinggal tidak jauh dari rumah pusaka tersebut
diamanahkan untuk menguruskan rumah pusaka tersebut.

Dua tiga bulan, Abu masih beramanah menguruskan rumah pusaka arwah bapanya,
duit sewa dimasukkan ke dalam tabung surau. Tetapi setelah beberapa bulan, Abu
mula merasakan dirinya berhak mengambil sebahagian duit sewa rumah pusaka
tersebut kerana dia yang menguruskannya.

Lalu sebahagian duit sewa diambil Abu tanpa pengetahuan adik beradik
yang lain.

Inilah yang dimaksudkan dengan makan harta pusaka secara batil. Kesan daripada kelima-lima beradik yang tidak mahu menguruskan rumah pusaka arwah bapa mereka secara tertib.

2. Hutang Si Mati Tidak Dapat Dijelaskan

Dalam urutan menguruskan harta pusaka si mati, melunaskan hutang arwah adalah antara keutamaan utama untuk waris lakukan. Keutamaan melunaskan hutang orang yang telah mati ini Allah tekankan dalam ayat 11 dan 12 Surah An-Nisa.

Dalam dua ayat ini, 4 kali Allah tegaskan supaya waris melunaskan hutang si mati sebelum membahagikan harta pusaka mengikut faraid. Diulang 4 kali ayat yang sama ini adalah sebagai satu bentuk perintah yang tegas agar dilaksanakan oleh waris.

Ayat yang menegaskan supaya waris melunaskan hutang diulang 4 kali dalam Surah An-Nisa ayat 11 dan 12. Salah satu ayat tersebut adalah:

مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي
بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ

(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah
diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Peringatan ini Allah ulang supaya waris tidak lupa membayar semua
hutang-hutang arwah sebelum membahagikan harta pusaka mengikut faraid.

3. Bilangan Ahli Waris Yang Berhak Terima Pusaka Bertambah Ramai

Semakin lambat diuruskan harta pusaka, semakin ramai waris yang berhak menerima harta pusaka si mati.

Sebagai contoh, apabila Ali meninggal dunia, warisnya yang berhak
menerima pusaka adalah isterinya dan dua orang anak lelakinya; Muhammad dan
Umar. Jadi hanya tiga orang waris sahaja yang berhak menerima harta pusaka Ali.

Tetapi akibat sikap sambil lewa waris-waris Ali, mereka tidak
menguruskan harta pusakanya. Dari tahun ke tahun, Muhammad dan Umar
masing-masing telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak sendiri.

Ditakdirkan, Muhammad meninggal dunia; meninggalkan seorang balu dan dua
orang anak lelaki. Maka ketika ini, waris yang berhak menerima harta pusaka Ali
daripada tiga orang, menjadi empat orang. Anak-anak Muhammad juga menjadi waris
yang berhak menerima harta pusaka atuknya selepas bapa mereka meninggal dunia.

Pertambahan waris ini akan menyulitkan lagi pengurusan harta pusaka Ali.

4. Dokumen Harta Pusaka Si Mati Hilang Atau Musnah

Semakin lama tidak diuruskan harta pusaka si mati, proses urusan akan
menjadi semakin sukar. Terutamanya apabila melibatkan dokumen harta pusaka si
mati dan dokumen pengesahan waris.

Kebanyakan dokumen adalah dalam bentuk hard copy, kertas yang mana terdedah kepada kerosakan dan hilang. Cuba bayangkan bagaimana rupanya geran tanah yang berusia puluhan tahun.

Kalau tak hilang sekali pun, agak-agak bagaimana rupanya geran tersebut?

Begitu juga halnya dengan dokumen-dokumen pengesahan waris. Berkaitan dengan masalah ketiga di atas, waris bertambah ramai. Sudah tentu sukar untuk mengumpulkan semua waris dalam satu masa dan tempat untuk membincangkan perihal harta pusaka.

Akhirnya, apa yang dikhuatiri, ada waris yang membuat pengesahan palsu
semata-mata nak memudahkan urusan dan meninggalkan waris lan daripada mendapat
bahagian faraid harta pusaka.

5. Perbalahan Yang Berpanjangan

Inilah masalah yang tidak berkesudahan melibatkan pengurusan harta pusaka. Ditambah pula dengan waris yang bertambah ramai, masing-masing tidak mengenali di antara satu sama lain, tiada rasa kasih sayang di antara mereka, semua hanya menuntut hak masing-masing tanpa mahu menguruskannya.

Akhirnya bergaduh tak sudah dan tidak bertegur sapa.

Kesimpulan

Kita maklum, nilai harta pusaka yang masih tidak diuruskan di Malaysia hari ini mencecah RM70 billion dan angka ini akan terus meningkat naik. Betapa besar kerugian khususnya umat Islam apabila aset harta pusaka ini tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Hasil daripada pemerhatian saya, kebanyakan waris yang melambat-lambat pengurusan harta pusaka ini adalah kerana merasa tiada keperluan. Rumah pusaka arwah masih boleh terus diduduki, tanah kebun masih boleh terus diraih tanamannya dan rumah sewa boleh terus dimanfaatkan duit sewanya.

Jadi buat apa nak bersusah payah naik turun pejabat tanah nak tukar nama geran rumah dan tanah? Kena keluar duit pula kalau nak setelkannya.

Perkara lain yang melambatkan urusan harta pusaka adalah disebabkan tiada wang tunai yang mencukupi untuk menguruskannya. Semua maklum, urusan harta pusaka bukanlah percuma.

Semakin besar nilat harta pusaka yang ditinggalkan, makin banyaklah tunai yang diperlukan untuk menguruskannya.

Oleh itu, bagi kita yang masih hidup ini, buatlah perancangan harta dengan baik dan teratur dan pastikan hutang-hutang kita di dunia ini dilunaskan semuanya.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka.

5 Masalah Yang Timbul Akibat Lewat Membahagikan Harta Pusaka 3
5 Masalah Yang Timbul Akibat Lewat Membahagikan Harta Pusaka 4

5 Masalah Yang Timbul Akibat Lewat Membahagikan Harta Pusaka 2

Source link