Artikel Terkini

Bursa Malaysia meningkat secara menyeluruh untuk akhiri sesi awal



KUALA LUMPUR: Indeks Bursa Malaysia mengukuh 1.63 peratus untuk akhiri sesi awal dagangan, mencatatkan keuntungan secara menyeluruh dengan kaunter penjagaan kesihatan kembali meraih keuntungan selepas penurunan semalam.

Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 25.5 mata kepada 1,590.50, dengan Hartalega dan Top Glove. apabila digabungkan menyumbang sejumlah 13.35 mata.

Indeks utama dibuka 10.30 mata lebih rendah kepada 1,563.01, berbanding 1,573.48 pada penutup semalam.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran kembali positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 553 berbalas 312, manakala 409 kaunter tidak berubah, 690 tidak diniagakan dan 27 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 4.57 bilion unit bernilai RM3.14 bilion.

Seorang penganalisis berkata para pelabur terus mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada kaunter yang jatuh teruk sebelumnya, terutama kaunter pengeluar sarung tangan.

“Selain daripada itu, kita turut menyaksikan permintaan menggalakkan untuk beberapa kaunter lain seperti penjagaan kesihatan, hartanah, pembinaan dan perladangan,” kata beliau.

Hartalega dan Top Glove mendahului saham berwajaran tinggi, masing-masing meningkat RM1.36 dan RM3.06 kepada RM16.22 dan RM22.76.

Kerancakan saham Top Glove didorong oleh keyakinan yang arahan sekatan oleh pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBPAS) ke atas sarung tangan pakai buang keluarannya akan selesai dalam tempoh dua minggu ini ataupun sebulan.

Sementara itu, saham-saham yang mencatatkan untung antaranya termasuklah Supermax, yang mengukuh RM1.60 kepada RM16.50, dan Kossan, meningkat 80 sen kepada RM13.06.

Saham-saham berwajaran tinggi pula, TNB menokok 10 sen kepada RM11.46, Hap Seng kekal pada RM8.83 dan PetChem naik satu sen kepada RM6.22.

Maybank pula lebih tinggi tujuh sen kepada RM7.89 dan Axiata meraih tiga sen kepada RM3.38.

Dalam kalangan saham paling cergas, Pegasus kekal pada 2.5 sen, manakala XOX meningkat 4.5 sen kepada 15 sen selepas berita menyatakan syarikat itu yang memiliki lesen e-dompet, akan menyediakan pembiayaan mikro berjumlah sehingga RM1 bilion kepada 2.2 juta pelanggan.

Sementara itu, Lambo dan Anzo, masing-masing meningkat setengah sen kepada 3.5 sen dan 13 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 176.01 mata kepada 11,216.42, Indeks FBMT 100 menambah 176.80 mata kepada 11,073.65 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 282.67 mata kepada 12,891.96.

Indeks FBM 70 melambung 219.29 mata kepada 13,918.40 dan FBM ACE meningkat dengan ketara sebanyak 238.68 mata kepada 7,405.93.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan lebih tinggi 52.96 mata kepada 13,587.17, Indeks Perladangan naik 11.35 mata kepada 6,973.70 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindsutrian meraih 0.5 mata kepada 138.27.

— BERNAMA





Source link