Artikel Terkini

COVID-19: Haiwan peliharaan juga harus duduk di rumah

COVID-19: Haiwan peliharaan juga harus duduk di rumah 1

COVID-19: Haiwan peliharaan juga harus duduk di rumah 2

COVID-19: Haiwan peliharaan juga harus duduk di rumah 3

KUALA LUMPUR: Pemilik perlu memastikan haiwan peliharaan mereka kekal di rumah dan tidak membenarkan mereka merayau di luar sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19.

Menurut pakar Epidemiologi, Datuk Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, pemilik harus menjaga haiwan peliharaan mereka dan memastikan mereka tidak keluar dari kawasan perumahan bagi mengelakkan pergaulan dengan manusia lain.

“Tuan punya haiwan peliharaan perlu memastikan haiwan mereka tidak keluar dari kawasan perumahan.

“Ini supaya haiwan peliharaan tersebut tidak memasuki rumah atau bergaul dengan manusia lain pada ketika ini,” kata Prof Dr Awang kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Selasa.

BACA: Kucing yang suka merayau lebih berisiko terdedah penyakit – Kajian

BACA: Langkah penjagaan haiwan peliharaan ketika wabak COVID-19

Sebelum ini, dua ekor anjing di Hong Kong didapati positif COVID-19 menerusi jangkitan antara manusia kepada haiwan

Berita tersebut diikuti dengan laporan seekor kucing yang positif jangkitan itu di Belgium yang turut menunjukkan simptom pernafasan dan cirit-birit.

Beberapa hari lalu pula, seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, New York disahkan positif COVID-19 selepas mengalami batuk dan kurang selera makan.

Dr Awang Bulgiba berkata, meskipun terdapat laporan mengenai jangkitan COVID-19 daripada manusia kepada haiwan, orang ramai tidak perlu berasa panik dan membuang haiwan peliharaan mereka.

“Memang terdapat laporan yang mengatakan wabak ini boleh berjangkit daripada manusia kepada binatang.

“Buat masa ini, tiada bukti yang jelas bahawa COVID-19 boleh berjangkit antara manusia dan haiwan peliharaan.

“Oleh itu, tiada keperluan untuk menghapuskan haiwan peliharaan,” ujarnya.

Bagaimana pula dengan haiwan terbiar?

Dalam masa sama, beliau menyarankan agar penangkapan kucing dan anjing liar dilaksanakan pihak berwajib sebagai langkah berjaga-jaga untuk membendung wabak COVID-19.

“Ia adalah lebih baik untuk menangkap haiwan terbiar dan melakukan pemeriksaan terhadap mereka.

“Sekiranya haiwan tersebut tidak menunjukkan sebarang simptom COVID-19, mereka boleh diberikan kepada sesiapa yang ingin membela dan menjadikan mereka sebagai kucing angkat

“Saya tidak rasa terdapat keperluan untuk melupuskan haiwan terbiar ini,” tambah beliau lagi.



COVID-19: Haiwan peliharaan juga harus duduk di rumah 2

Source link