Artikel Terkini

Flash Crash 2010: Kejatuhan Indeks ‘Sepantas Kilat’

Flash Crash 2010: Kejatuhan Indeks ‘Sepantas Kilat’ 1

Tanggal 6 Mei 2010 menyaksikan pasaran kewangan di Amerika Syarikat dikejutkan dengan kejatuhan indeks Dow Jones sebanyak 998.5 mata. Dianggarkan sebanyak $1 trilion USD nilai saham lenyap dalam masa beberapa jam selepas pasaran dibuka.

Kejatuhan indeks ini melebihi kejatuhan terbesar dalam tempoh sehari yang pernah dialami pada tahun 2008, iaitu sebanyak 777.68 mata. Peristiwa ini digelar sebagai flash crash kerana tempoh masa kejatuhan dan pemulihan indeks berlaku dengan sangat pantas.

Kejadian ini bukan sahaja berlaku pada indeks Dow Jones, malah punca kejatuhan bermula dari indeks S&P 500 dan kontrak S&P E-mini dimana masing-masing mengalami kejatuhan melebihi 8% pada waktu kemuncak. Peristiwa ini mendatangkan tanda tanya mengenai punca kejatuhan yang besar dan diikuti dengan pemulihan indeks dalam masa yang singkat.

Hasil siasatan yang dijalankan oleh US Securities & Exchange Commission (SEC), salah satu punca yang mengakibatkan kejatuhan dalam waktu yang singkat adalah tekanan jualan pada kontrak E-mini. Sebanyak 80,000 kontrak E-mini dilaporkan dijual pada hari tersebut. Sejumlah 75,000 kontrak yang kebiasaannya mengambil masa lebih 5 jam untuk dijual telah dilakukan didalam tempoh 20 minit secara automatik.

Pada pukul 2.42 petang hari kejadian, harga kontrak E-mini jatuh dengan pantas berpunca daripada syarikat High Frequency Trading (HFT) yang turut bertindak menjual kontrak E-mini tersebut apabila mengesan berlakunya kejatuhan harga.

Indeks Dow Jones turut mengalami tekanan jualan yang luar biasa dan mula kehilangan lebih 600 mata dalam masa 5 minit menjadikan jumlah penurunan hampir 1,000 mata pada hari tersebut.

Kejatuhan harga pada kontrak E-mini memberi kesan terhadap indeks Dow Jones apabila algoritma syarikat HFT mengesan terdapat risiko yang berkait dengan saham-saham di dalam indeks Dow Jones pada waktu yang sama dan mula melakukan jualan.

Hal ini mengakibatkan indeks Dow Jones bergerak seiring dengan indeks S&P 500 dan harga kontrak E-mini.

Namun, kejatuhan tersebut hanya berterusan sehingga pukul 2.46 petang. Harga kontrak E-mini kembali meningkat selepas Chicago Mercantile Exchange mengesan kejatuhan yang besar pada harga kontrak dan menghentikan dagangan selama lima saat. Penggantungan dagangan ini digelar ‘Stop Logic Functionality’ yang bertindak seperti Circuit Breaker di Bursa Malaysia. Kesemua indeks kembali meningkat seolah-olah tiada apa-apa yang luar biasa berlaku pada hari tersebut.

Pada tahun 2015, Department of Justice menahan seorang pedagang yang dikatakan menjadi punca bagi peristiwa flash crash. Navinder Singh Sarao yang berumur 36 tahun (pada 2015) dituduh melakukan aktiviti spoofing bagi mengelirukan pedagang lain.

Spoofing merupakan tindakan bertujuan untuk memanipulasi harga dengan meletakkan order dan berniat untuk membatalkan pada kemudiannya. Sarao akhirnya mengaku bersalah di atas petuduhan memanipulasi pasaran E-mini sejak tahun 2009 sehingga tahun 2014 dan dilaporkan beliau telah membuat keuntungan sebanyak $900,000 USD pada tarikh 6 Mei 2010 tersebut.

Flash Crash 2010: Kejatuhan Indeks ‘Sepantas Kilat’ 2

Flash Crash 2010: Kejatuhan Indeks ‘Sepantas Kilat’ 1

Source link