Artikel Terkini

Menjelang Syawal: Tradisi hantar kad raya imbau nostalgia

Menjelang Syawal: Tradisi hantar kad raya imbau nostalgia 1

Menjelang Syawal: Tradisi hantar kad raya imbau nostalgia 2

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi, umat Islam seluruh dunia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ia juga menandakan Ramadan bakal meninggalkan kita tidak lama lagi.

Walaupun kemeriahan sambutan raya tahun ini menyaksikan kelainan yang amat luar biasa ketika dunia dilanda wabak COVID-19, situasi ini pasti tidak menghalang kita untuk kekal memberi ucapan di samping memohon maaf dengan saudara-mara dan rakan handai atas kekhilafan masa lalu.

Bagi umat Islam, ini merupakan peluang untuk ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’ iaitu dengan membudayakan kiriman ucapan dan berbalas-balas kad ucapan raya.

Biarpun teknologi terbukti memudahkan sistem komunikasi sesama kita untuk lebih menjimatkan masa dan tenaga, namun penulisan kad raya pastinya kekal menjadi aspek kemeriahan sambutan Syawal bagi si pengirim dan si penerima.

Kad ucapan yang siap disertakan alamat penerima di hantar ke peti pos surat. - Foto Astro AWANI

Bagi seorang penulis novel dari Ipoh, Perak, tradisi menulis dan mengirim kad ucapan hari raya kepada rakan-rakannya bukanlah perkara baharu.

Sebaliknya, Nor Shahirah Zulghafar, 24, tidak pernah gagal menghantar kad raya sekali gus mengukir senyuman penerima kad rayanya setiap kali Syawal.

“Kebanyakan kad raya ini dihantar ke Perak, Selangor dan Kuala Lumpur. Ada juga dipos ke Pahang, Sarawak dan juga Sabah.

“Istimewa tahun ini, ada sekeping kad raya yang dihantar ke luar negara iaitu ke Rusia buat kawan lama sewaktu di sekolah dahulu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelas Shahirah, ketika mengetahui ada di antara rakannya yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia berharap kiriman kad raya itu sedikit sebanyak dapat menceriakan pengalaman menyambut Syawal tahun ini.

Katanya, walaupun memerlukan sedikit usaha untuk mendapatkan kad raya serta melibatkan kos, kegembiraan yang dikongsikan rakan saat menerima kad raya kirimannya menjadi satu kepuasan besar buatnya.

“Memang tak dinafikan teknologi antara faktor utama tradisi menghantar kad raya ini semakin dilupakan.

“Mungkin juga sebab orang sudah tiada masa untuk ke kedai semata-mata untuk mencari kad raya.

“Kad raya juga boleh dikatakan agak mahal ditambah dengan setem lagi berbanding menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas atau media sosial.

“Tapi, saya rasa puas apabila mereka juga turut sama teruja terima kad raya tersebut,” katanya.

Shahirah menunjukkan beberapa keping kad raya ditulisnya yang bakal diterima oleh rakan-rakannya dari serata negeri. -Foto ihsan Shahirah Zulghafar

Pada era 1990-an dan sebelumnya, posmen antara individu yang paling sibuk dalam urusan penghantaran kad raya menjelang perayaan Aidilfitri.

Selain menggunakan perkhidmatan pos, kiriman kad raya tanpa setem kepada rakan taulan terdekat juga antara kenangan pada zaman itu.

Selain itu, di pejabat mahupun ruang tamu di rumah, kad raya antara perhiasan sampingan yang menyerikan lagi dinding dan siling rumah suatu ketika dahulu.

Namun, sejak awal tahun 2000, budaya ini perlahan-lahan dijarah dengan kemodenan teknologi telekomunikasi di negara ini.

Zaman berubah dan itu adalah pasti. Walau apa cara dan medium sekalipun, kesanggupan menurunkan ego sesama kita adalah suatu perkara yang penting dalam menyambut bulan Syawal.



Menjelang Syawal: Tradisi hantar kad raya imbau nostalgia 2

Source link