Artikel Terkini

Ranhill catat keuntungan selepas cukai RM18.2 juta suku pertama 2020



KUALA LUMPUR: Ranhill Utilities Berhad mencatatkan prestasi berterusan untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2020, dengan keuntungan selepas cukai (PAT) RM18.2 juta, sedikit lebih rendah daripada RM21.3 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Ranhill, Tan Sri Hamdan Mohamad berkata, walaupun melalui persekitaran mencabar akibat COVID-19 global, penghasilan pendapatan yang berterusan dilihat sebagai petanda positif untuk syarikat.

“Ketahanan kami disokong oleh perniagaan teras di sektor alam sekitar dan kuasa, yang memungkinkan kami beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ” katanya dalam satu kenyataan media.

Walaupun wabak berkenaan menunjukkan tanda-tanda semakin pulih di Malaysia dan PKP Bersyarat membolehkan aktiviti perniagaan disambung semula, syarikat tetap fokus pada pengurusan perniagaan secara berhemah untuk memastikan aliran tunai terus stabil.

Untuk tujuan ini, Ranhill terus mencari peluang untuk memperluas operasi bekalan airnya di Malaysia, berdasarkan model ‘Asset-Light’ dan pencapaiannya dalam mengendalikan perkhidmatan bekalan air di Johor selama lebih dari 20 tahun, sejak tahun 1999.

“Walaupun dalam keadaan sukar sekarang, kami optimis ada prospek jangka panjang yang kuat.

“Dengan pengoperasian yang semakin baik di dalam negeri dan di luar negara serta rancangan pengembangan strategik, syarikat bersedia untuk terus memanfaatkan peluang yang akan datang,” kata Hamdan.





Source link