Artikel Terkini

Sektor pembinaan, pengangkutan, IT bakal pacu pertumbuhan ekonomi pada masa depan – Ahli ekonomi

Sektor pembinaan, pengangkutan, IT bakal pacu pertumbuhan ekonomi pada masa depan - Ahli ekonomi 1

Sektor pembinaan, pengangkutan, IT bakal pacu pertumbuhan ekonomi pada masa depan - Ahli ekonomi 2

Sektor pembinaan, pengangkutan, IT bakal pacu pertumbuhan ekonomi pada masa depan - Ahli ekonomi 3

KUALA LUMPUR: Meskipun mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang sederhana pada 0.7 peratus bagi suku pertama 2020 , para penganalisis dan ahli ekonomi yakin ekonomi Malaysia mula pulih dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

Mereka berkata sektor pembinaan, pengangkutan dan teknologi maklumat (IT) bakal menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi masa depan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pertumbuhan KDNK suku pertama 2020 berada dalam jajaran sasaran unjuran satu peratus.

“Prospek dalam masa enam bulan ini akan bergantung sepenuhnya kepada secepat mana ekonomi boleh dibuka semula. Ini akan bergantung kepada evolusi kes baharu COVID-19.

“Setakat ini, kes jangkitan telah melandai. Ini telah menyediakan ruang bagi membuka semula ekonomi. Oleh itu, kita boleh menjangkakan ekonomi mula pulih seawal suku keempat 2020,” katanya kepada Bernama.

Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Lau Zheng Zhou yang turut bersetuju dengan kenyataan itu berkata, bacaan pertumbuhan KDNK berada dalam jangkaan kerana ekonomi negara pada tempoh dua bulan pertama suku pertama berkembang dengan agak kukuh dan ia membantu mengimbangi penurunan drastik aktiviti ekonomi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac.

“Pemulihan ekonomi Malaysia juga bergantung kepada pemulihan ekonomi global.

“Malaysia mencatatkan prestasi yang sangat baik berbanding negara-negara maju lain dalam menangani situasi pandemik ini dan negara juga berada di kedudukan yang baik untuk merebut peluang daripada pertumbuhan perlahan global dan mencatatkan pemulihan lebih pantas,” katanya.

Menurut Lau, separuh kedua tahun ini dijangka lebih baik daripada yang pertama memandangkan ekonomi secara beransur-ansur akan pulih daripada implikasi sosioekonomi PKP.

“Walaupun kita masih boleh menyaksikan kemelesetan teknikal bagi 2020, berkemungkinan pemulihan dalam keadaan pandemik, termasuk lebih banyak kelonggaran sekatan akan mewujudkan lebin banyak limpahan yang positif dan menjana keyakinan yang lebih besar pada 2021.

“Gangguan jangka pendek kepada perniagaan dan ketidakpastian mengenai masa depan telah membawa kepada kadar pengangguran yang tinggi, yang kemudian, menjejaskan keputusan penggunaan serta pelaburan,” tambahnya lagi.

Beliau menyatakan sesetengah perniagaan masih mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” termasuk pengurangan kos bagi memastikan kelangsungan hidup sambil menunggu petunjuk yang lebih jelas sebelum membuat keputusan mengenai sebarang pengambilan dan pelaburan baharu.

“Oleh itu, selain daripada langkah bantuan kewangan sementara, pelan pemulihan ekonomi oleh kerajaan diharap akan memberi petunjuk mengenai peluang pertumbuhan masa depan,” kata Lau.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata, sektor pembinaan diramal akan mengaktifkan pertumbuhan ekonomi, melalui sokongan kerajaan dalam mempercepatkan lagi projek infrastruktur mereka.

“Kami telah melihat pelaburan awam kekal lemah dan ini tidak baik untuk pelaburan swasta.

“Sekarang pun, Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dan Indeks Keadaan Perniagaan menunjukkan sentimen perniagaan yang agak pesimistik. Jadi, sektor pembinaan memerlukan pemangkin,” katanya.

Sementara itu, Prof Dr Mohd Nazari Ismail dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya berkata sektor IT dijangka mencatatkan pertumbuhan terutamanya subsektor berkaitan perkhidmatan dalam talian.

Beliau berkata impak pandemik telah menunjukkan hubungan digital penting kepada daya tahan masyarakat dan kesinambungan perniagaan dalam tempoh krisis dan bagi penyedia infrastruktur ini, akan terdapat permintaan yang lebih tinggi untuk hubungan yang mungkin diimbangi oleh kejutan negatif.

– BERNAMA



Sektor pembinaan, pengangkutan, IT bakal pacu pertumbuhan ekonomi pada masa depan - Ahli ekonomi 2

Source link