Berita

Senyuman penerima kepuasan saya | Harian Metro


Kuala Lumpur: Kesibukan harian sebagai peniaga nasi lemak tidak menghalang Rozeeta Abdul Manan untuk membantu asnaf, anak yatim, penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) terkandas dan petugas barisan hadapan dalam fasa pendemik Covid-19 dengan mengedarkan makanan percuma kepada mereka.

Rozeeta, 35, yang menetap di Setia Alam, Selangor tidak berseorangan sebaliknya dibantu suami, Azrul Helmi Ibrahim, 37, yang bekerja sepenuh masa sebagai artis grafiti.

Menurutnya, inisiatif itu dilakukan pada setiap Jumaat dengan niat untuk bersedekah dan memastikan tiada yang berlapar.

“Sebenarnya, saya mula cenderung melakukan aktiviti sebegini sejak 2013 iaitu sebelum mula berniaga lagi dan pernah menghantar bantuan untuk mangsa banjir di Kelantan pada 2014. Sejak itu rasa seronok lakukannya cuma akviti berkenaan terhenti seketika selepas berhijrah ke Qatar pada September 2019.

“Berikutan pandemik Covid-19, saya dan suami pulang ke Malaysia Julai lalu dan sekembalinya di sini, saya lihat ada keperluan membantu kerana ramai yang terkesan akibat hilang kerja dan sebagainya.

“Kisah kesusahan penuntut IPT yang terkandas antara menyentuh hati saya dan bertitik tolak daripada itu, datang keinginan untuk bersedekah makanan setiap Jumaat bermula September lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Rozeeta berkata, pada awalnya, sedekah itu disampaikan ke rumah anak yatim dan masjid sebelum diperluaskan kepada hospital serta asnaf memerlukan.

“Permulaannya, kami hantar makanan ke Pusat Jagaan Anak-Anak Insan Al-Rahmat Hikmah, Hulu Langat Selangor kemudian Rumah Bakti Cahaya Hati dan Teratak Insan Bakti, Rawang pada minggu berikutnya.

“Pada minggu seterusnya, kami hantar pula ke masjid, Hospital Putrajaya dan Hospital Sungai Buloh seterusnya kepada asnaf memerlukan,” katanya yang mengambil tempahan nasi lemak jualannya secara dalam talian.

Katanya, ada ketikanya, dia akan mengajak pengikutnya di Twitter bersedekah dengan mempelawa mereka bersama untuk menyumbang wang mengikut keperluan masing-masing.

“Kebiasaannya, saya akan memuat naik ciapan di Twitter dua hari sebelum ke lokasi agihan. Alhamdulillah, ramai bermurah hati menghulurkan sumbangan malah ada yang memberi wang untuk menyediakan hidangan tetapi bukan setiap minggu saya dan suami mengumpul dana itu.

“Ada masanya, kami berdua lakukan agihan dengan berbekalkan sebahagian wang hasil jualan,” katanya.

Meskipun melakukannya tanpa ganjaran, Rozeeta gembira kerana dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Saya jenis seorang yang tidak boleh melihat orang lain berlapar jadi saya gunakan kemahiran memasak dan rezeki yang ada untuk membantu. Alhamdulillah, suami bersama-sama saya dan melihat penerima tersenyum ketika menerima bungkusan makanan saja sudah memberi kepuasan buat saya.

“Terima kasih kepada semua yang pernah membantu menjayakan inisiatif saya selama ini dan diharapkan usaha ini diredai Allah,” katanya



Source link
kontraktor rumah
bina rumah
pinjaman lppsa
pengeluaran kwsp
spesifikasi rumah
rumah ibs
pelan rumah
rekabentuk rumah
bina rumah atas tanah sendiri
kontraktor rumah selangor
rumah banglo