Artikel Terkini

Bursa Malaysia dibuka rendah, dipengaruhi kebimbangan mengenai kemelesetan global



KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan penurunan semalam untuk dibuka rendah hari ini, susulan prestasi tidak menentu di seluruh ekuiti global berikutan kebimbangan mengenai kemelesetan dunia apabila kes baharu jangkitan COVID-19 mencatatkan peningkatan.

Pada 9.06 pagi, indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.50 mata atau 0.26 peratus kepada 1,319.16 daripada 1,322.66 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka 2.04 mata lebih rendah pada 1,320.62.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 159 berbanding 141, manakala 161 kaunter tidak berubah, 1,460 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 173.63 juta bernilai RM86.05 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata sentimen pasaran juga suram berikutan langkah Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara-negara Asia akibat impak daripada pandemik COVID-19.

“Oleh itu, jangkaan kemelesetan kini melonjak kepada 40 peratus daripada 25 peratus yang dibuat pada awal tahun ini,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma pembrokeran itu berkata berdasarkan situasi semasa, penurunan semula mungkin menjadikan bursa tempatan disokong pada paraas psikologi 1,300, diikuti 1,250.

“Bagi pergerakan menaik, 1,360 dan 1,400 pula menjadi paras rintangan,” menurutnya.

Antara saham berwajaran tinggi, MISC merosot 13 sen kepada RM7.36, Tenaga susut 10 sen kepada RM11.72, Maxis kurang lima sen kepada RM5.03, CIMB menguncup tiga sen kepada RM3.50 dan Sime Darby Plantation turun empat sen kepada RM4 .70.

Bagi saham aktif, Hubline dan XDL susut setengah sen kepada 4.5 sen dan sembilan sen, Minetech Resources menambah satu sen kepada 1.5 sen, Jaks menokok dua sen kepada 81 sen manakala Sapura Energy tidak berubah pada 7.5 sen.

Kaunter paling rugi, Carlsberg, merosot 66 sen kepada RM24.10 manakala saham paling untung Nestle melonjak RM2.90 kepada RM136.50.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 17.52 mata kepada 9,068.65, Indeks FBM Emas Syariah susut 17.75 mata kepada 9,905.64 manakala Indeks FBMT 100 kurang 19.06 mata kepada 8.998.81.

FBM 70 menguncup 2.35 mata kepada 10,508.85 namun FBM Ace meningkat 17.38 mata kepada 3,10.56.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.14 mata kepada 103.4, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 56.11 mata kepada 11,988.34 dan Indeks Perladangan kurang 30.59 mata kepada 6,076.69.

— BERNAMA





Source link

Related Posts