Artikel Terkini

Bursa Malaysia dibuka terendah dalam 10 tahun



KUALA LUMPUR: Susulan kejatuhan mendadak sehingga 2,300 mata di Wall Street, indeks utama Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan kejatuhan sehingga 5.15 peratus pada sekitar jam 9.04 pagi.

Ini menolak FBM KLCI ke paras terendah sejak sekitar 2010.

Dalam dagangan semalam di New York, indeks Dow Jones jatuh hampir 10 peratus, indeks Nasdaq jatuh 9.43 peratus dan S&P 500 jatuh 9.51 peratus.

Pada pembukaan indeks FBM KLCI jatuh 55 mata.

Menurut Ketua Strategi Pasaran Asia di AxiTrader, Stephen Innes, pelabur kini sangat khuatir berkenaan keupayaan kerajaan dalam berdepan penularan COVID-19.

Dalam masa yang sama, kekhuatiran turut diburukkan lagi dengan penutupan bandar dan negara oleh kerajaan di Eropah dan larangan perjalanan yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Bank pusat Amerika, The Fed pada Khamis turut mengumumkan suntikan kecairan jangka pendek bernilai AS$1.5 trilion, namun ia masih gagal memulihkan sentimen.

Menurut Innes, pelabur kini mahukan tunai dan ini dapat dilihat dengan penjualan asset termasuk Bitcoin, emas dan aset lain.

Untuk rekod, saham di pasaran Asia turut didagangkan rendah dengan indeks utama Nikkei 225 jatuh sehingga 10 peratus dalam dagangan pagi.

Pelabur turut dilihat beralih ke matawang selamat, meningkatkan nilai dolar AS berbanding Ringgit.

Menurut laporan Bernama, Ringgit susut kepada 4.2800/2850 berbanding dolar AS.





Source link

Related Posts