Artikel Terkini

Bursa Malaysia dibuka tinggi | Astro Awani



KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi ini dengan hampir semua kaunter mendapat rangsangan daripada aktiviti belian susulan sentimen positif di pasaran tempatan.

Pada 9.05 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.90 mata kepada 1,374.75 daripada paras penutup 1,369.85 pada Jumaat.

Suasana pasaran optimistik dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 282 berbanding 59, manakala 189 kaunter tidak berubah, 1,393 tidak diniagakan dan 38 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 267.34 juta saham bernilai RM110.80 juta.

Seorang penganalisis berkata pendekatan berhati-hati yang diambil Malaysia dalam membukakan ekonominya bagi memastikan tiada penularan semula besar-besaran COVID-19, telah menyuntik keyakinan tinggi dalam kalangan pelabur bahawa Malaysia boleh memenangi perjuangan menentang pandemik global itu.

“Ketika kita menjalankan ujian ubatan bersama-sama dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan jumlah pesakit yang dijangkiti terjawal, kerajaan perlahan-lahan membukakan sektor ekonomi untuk meneruskan operasinya,” katanya.

Beliau berkata trend peningkatan itu akan terus disokong oleh keyakinan tinggi pelabur tempatan, tetapi ia masih lagi sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pasaran global.

Sementara itu, dalam nota ekuitinya hari ini Rakuten berkata memandangkan harga minyak global stabil kaunter tenaga dijangka kekal berada dalam jajaran yang diunjurkannya, buat masa ini.

Penanda aras minyak mentah dunia Brent mencatatkan AS$21.18 setong manakala minyak mentah merekodkan AS$16.14 setong.

Ia berkata pasaran ekuiti dijangka kekal tidak menentu kerana indeks serantau mungkin terus berada dalam fasa penstabilan memandangkan peningkatan kadar pengangguran di Amerika Syarikat.

Kadar pengangguran AS meningkat kepada 4.4 peratus setakat ini pada April daripada 3.5 peratus pada awal tahun ini.

Dalam kaunter wajaran tinggi, Maybank naik tujuh sen kepada RM7.43, Public Bank meningkat 10 sen kepada RM15.92, IHH naik satu sen kepada RM5.12 manakala Petronas Chemical, CIMB Group dan Digi semuanya meningkat tiga sen masing-masing kepada RM5.30, RM3.53 dan RM4.39.

Dalam kalangan kaunter vergas, Careplus dan LKL kedua-duanya meningkat dua sen masing-masing kepada 45 sen dan 29.5 sen manakala ES Ceramics menokok 6.5 sen kepada 42 sen.

Dalam kalangan kaunter rugi utama, MISC turun 20 sen kepada RM7.60 diikuti Dutch Lady yang jatuh 16 sen kepada RM47.80 dan KLK berkurangan lapan sen kepada RM20.22.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 42.18 mata kepada 9,596.82, Indeks FBMT 100 meningkat 40.75 mata kepada 9,463.42, Indeks FBM Emas menokok 40.75 mata kepada 9,473.42, FBM ACE menambah 30.73 mata kepada 4,479.91 manakala FBM 70 naik 78.29 mata kepada 11,510.79.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 75.96 mata kepada 12,330.02, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.62 mata kepada 116.30 dan Indeks Perladangan menambah 9.45 mata kepada 6,124.02. – BERNAMA





Source link

Related Posts