Artikel Terkini

Bursa Malaysia dibuka tinggi | Astro Awani



KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menyambung semula dagangan dengan dibuka tinggi pada pagi ini selepas ditutup dua hari apabila harapan terhadap pemulihan global telah meningkatkan sentimen pasaran.

Pasaran tempatan ditutup pada Isnin dan Selasa sempena cuti umum sambutan Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada Ahad.

Pada 9.04 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 13.39 mata atau 0.93 peratus kepada 1,450.15 daripada paras penutup 1,436.76 pada Jumaat.

Indeks itu dibuka naik 0.15 mata kepada 1,446.91.

Kenaikan yang dicatatkan dua pengeluar sarung tangan, Hartalega dan Top Glove telah melonjakkan indeks komposit sebanyak 12.789 mata.

Hartalega dan Top Glove meningkat RM1.16 setiap mata masing-masing kepada RM11.16 dan RM12.98.

Seorang peniaga berkata Bursa dibuka tinggi sejajar dengan prestasi pasaran serantau lain susulan kenaikan semalaman di Wall Street berikutan keyakinan terhadap perkembangan vaksin COVID-19 ditambah dengan pembukaan semula aktiviti perniagaan yang terhenti disebabkan virus itu.

Keseluruhan suasana pasaran di Bursa adalah bulis dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 420 berbanding 84, manakala 182 kaunter tidak berubah, 1,209 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 426.01 juta unit bernilai RM258.19 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga dan Public Bank meningkat enam sen setiap satu masing-masing kepada RM12.26 dan RM15.32, manakala IHH tidak berubah pada RM5.43.

Maybank susut lima sen kepada RM7.38 dan Petronas Chemicals turun 10 sen kepada RM5.80.

Dalam kalangan kaunter paling cergas, Key Alliance naik 1.5 sen kepada sembilan sen, Velesto meningkat satu sen kepada 17 sen, manakala P.A Resources, Vortex dan Sapura Energy menokok setengah sen setiap satu masing-masing kepada enam sen, lapan sen dan 10.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 116.84 mata kepada 10,293.96, Indeks FBMT 100 naik 99.8 mata kepada 10,125.12, Indeks FBM Emas Shariah menambah 199.83 mata kepada 11,820.17.

FBM ACE naik 84.83 mata kepada 5,472.62 dan FBM 70 meningkat 152.42 mata kepada 12,847.52.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.37 mata kepada 124.76, Indeks Perladangan naik 10.42 mata kepada 6,733.27 tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 18.62 mata kepada 12,362.11.

— BERNAMA





Source link

Related Posts