Uncategorized

Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan



KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan berikutan sentimen berhati-hati mengenai ketidaktentuan global, walaupun pengumuman mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata barometer pasaran dijangka merosot kepada paras sokongan 1,580 mata pada minggu depan didorong oleh kelemahan global.

“Prestasi FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) seiring dengan prestasi ekuiti global yang rendah berikutan kebimbangan mengenai kemelesetan yang mula wujud. Ini disebabkan hasil perbendaharaan AS yang tidak menentu dan kedudukan ekonomi AS yang lembap.

“Susulan prestasi bercampur-campur di seluruh dunia, kami menjangka FBM KLCI akan bertahan pada paras 1,600 mata dengan prospek ekonomi domestik yang baik,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dari segi teknikal, FBM KLCI menunjukkan daya tahan di bawah paras sokongan 1,600 mata.

“Bursa tempatan mencatatkan corak ‘Bearish Harami’ yang kecil hampir dengan paras sokongan yang disebut sebelum ini – petunjuk bahawa aliran penurunan memberi tekanan kepada aliran peningkatan,” katanya.

Nazri berkata paras sokongan segera untuk bursa tempatan akan kekal hampir pada 1,580 mata dan sebaliknya, paras halangan segera pada 1,600 mata, manakala paras halangan akan datang dilihat pada 1,630 mata.

Pada minggu ini, penanda aras pasaran susut daripada paras sokongan 1,600 mata menjejaki prestasi Wall Street apabila Dow Jones Industrial Average merosot lebih tiga peratus dalam tempoh dua hari, diklasifikasikan sebagai kejatuhan paling teruk pada tahun ini.

Pada Rabu, pasaran meningkat semula secara sementara berikutan Presiden AS Donald Trump menangguhkan tarif tambahan yang dijangka ke atas barangan eksport China hingga 15 Dis.

Bagaimanapun, bursa tempatan menghadapi penyusutan pada Khamis sekali lagi sejajar dengan bursa serantau disebabkan ketidaktentuan global yang meningkat.

Pada Jumaat, pasaran tempatan ditutup bercampur-campur disokong oleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua yang lebih baik daripada jangkaan yang dijangka menjadi pemangkin sementara untuk KLCI minggu depan.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 15.83 mata kepada 1,599.22 daripada 1,615.05 minggu lepas.

Dagangan pada minggu ini dipengaruhi oleh prestasi Wall Street, penangguhan tarif oleh AS ke atas barangan China dan pengumuman mengenai KDNK Malaysia.

Indeks FBM Emas merosot 132.22 mata kepada 11,308.11, Indeks FBMT 100 susut 127.22 mata kepada 11,145.65 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 83.35 mata kepada 11,843.22.

FBM 70 susut 230.25 mata kepada 14,074.12 dan Indeks FBM Ace turun 109.92 mata kepada 4,587.72.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 317.48 mata kepada 15,524.51, Indeks Perladangan naik 30.94 mata kepada 6,758.37 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 2.92 mata kepada 149.72.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 8.33 bilion unit dengan nilai RM6.6 bilion berbanding 12.45 bilion unit bernilai RM10.11 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 5.38 bilion saham bernilai RM5.99 bilion berbanding 7.64 bilion saham bernilai RM9.19 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 1.75 bilion unit bernilai RM499.52 juta daripada 2.41 bilion unit bernilai RM596.71 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.17 bilion saham bernilai RM187.90 juta daripada 2.40 bilion saham bernilai RM318.84 juta.

— BERNAMA





Source link

Related Posts