Artikel Terkini

Bursa Malaysia turun 6.27 peratus berikutan kebimbangan mengenai COVID-19



KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia susut 6.27 peratus semasa mengakhiri dagangan sesi pagi hari ini susulan penjualan di seluruh papan, seiring dengan prestasi rendah dicatatkan bursa serantau, berikutan kebimbangan dan ketidakpastian yang wujud akibat penularan COVID-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula baru-baru ini telah mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik.

Di peringkat rantau, Indeks Nikkei 225 Jepun turun 8.45 peratus, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 5.78 peratus, Kopsi Korea Selatan berkurangan 7.97 peratus dan Indeks Straits Times Singapura menguncup 4.98 peratus.

Di peringkat global pula, pasaran saham Amerika Syarikat (AS) mengalami penurunan terbesar dalam satu hari pada Khamis, sejak kejatuhan pasaran saham atau dikenali sebagai Black Monday pada 1987.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 89.11 mata atau 6.27 peratus kepada 1,330.32 daripada 1,149.43 ketika ditutup pada Khamis.

BACA: INFOGRAFIK PERKEMBANGAN SEMASA COVID-19

FBM KLCI dibuka 55.67 mata lebih rendah pada 1,363.76 sebelum bergerak di antara 1,320.96 dengan 1,363.76 sepanjang sesi dagangan pagi hari ini.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 1,115 berbanding 73 manakala 115 kaunter tidak berubah, 719 kaunter tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 3.25 bilion saham bernilai RM2.61 bilion.

Sentimen pasaran turut suram dengan Indeks FBM Small Cap susut 10.17 peratus, Kewangan kurang 5.75 peratus, FBM ACE menguncup 8.23 peratus dan Pembinaan turun 12.10 peratus.

Rakuten Trade menerusi nota penyelidikannya berkata kepanikan mempengaruhi pasaran di seluruh dunia, berikutan kebimbangan mengenai COVID-19, juga mendorong Rizab Persekutuan AS mengumumkan suntikan mudah tunai bernilai US$1.5 trilion ke dalam sistem kewangannya, yang seakan-akan permulaan bagi kelonggaran kuantitatif untuk menenangkan pasaran.

“Pasaran serantau dijangka mengalami situasi sukar dan turut mencatatkan penurunan, manakala bagi bursa tempatan, FBM KLCI juga mungkin mengalami aliran yang sama,” menurutnya.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata peningkatan semula dijangka tidak dapat dicatatkan hari ini memandangkan sentimen pelabur masih lemah.

“Pada masa yang sama, penjualan asing kekal tidak menentu, sekali gus meningkatkan tekanan jualan ke atas indeks berwajaran tinggi, dengan trend ini mungkin berpanjangan,” menurutnya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank turun 39 sen kepada RM7.89, Tenaga susut 80 sen kepada RM11.62, Public Bank kurang 86 sen kepada RM15.34 manakala IHH Healthcare menguncup 17 sen pada RM5.39.

Bagi saham aktif, Thrive Property turun setengah sen kepada setengah sen, Sapura Energy dan Velesto Energy masing-masing kurang 1.5 sen kepada 9.5 sen dan 15.5 sen, manakala KNM susut dua sen kepada 11.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 665.85 mata kepada 9,192.22, Indeks FBM Emas Syariah kurang 750.78 mata kepada 9,781.30 dan FBM 70 merosot 913.51 mata kepada 10,769.19.

Indeks FBMT 100 jatuh 645.06 mata kepada 9,097.24 dan FBM Ace susut 371.85 mata kepada 4,143.92.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 11.80 mata kepada 107.64, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 781.41 mata kepada 12,793.66 dan Indeks Perladangan susut 410.46 mata pada 5,810.09.

— BERNAMA





Source link

Related Posts