Artikel Terkini

Cacat penglihatan bukan penghalang ayam panggang Wak Legend laris!



KUCHING: Hanya bergantung kepada deria pendengaran dan bau untuk memastikan ayam yang dipanggangnya masak dengan sempurna.

Itu yang berlaku kepada seorang pemanggang ayam terkenal di Kuching, Sarawak iaitu Rajit Hairani, 46 tahun, atau lebih dikenali sebagai Wak Legend yang cacat penglihatan sepenuhnya pada 2007 selepas saraf matanya rosak.

Ayam yang dipanggangnya sentiasa dinantikan warga Kuching terutamanya di bulan Ramadan kerana kelembutan dan keenakkan rasanya.

Dia yang bekerja di gerai ayam panggang Wak Legend di Sungai Maong di sini berkata, teknik yang digunakan adalah dengan merasakan kelembutan dan aroma ayam yang dipanggangnya.

“Saya sudah lama menggunakan teknik ini untuk memastikan ayam yang dipanggang masak dengan sempurna.

“Alhamdullillah dengan adanya deria lain selain penglihatan, ia membolehkan saya untuk terus bekerja menjadi pemanggang yang baik seterusnya menampung kehidupan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.

Bagi Wak Legend yang juga bapa kepada tujuh cahaya mata, kecacatan bukan penghalang untuknya terus berkhidmat dan mencari rezeki demi keluarga tercinta.

“Kecacatan seperti ini bukan sesuatu yang kita inginkan di dalam kehidupan, tetapi saya menganggap perkara ini sebagai satu cabaran malah saya sangat bersyukur kerana terus diberi kekuatan.

“Apa yang penting sekarang adalah usaha dan semangat untuk terus hidup demi ahli keluarga,” tambahnya.

Sementara itu bagi majikannya, Rahani Omar, walaupun Wak cacat penglihatan namun hasil kerjanya sangat memuaskan.

“Wak sangat teliti dalam setiap perkara yang dilakukan dan pastinya sukar untuk mencari pekerja yang bagus sepertinya,” ujar Rahani.





Source link