Uncategorized

CAEXPO 2019: Nilai jualan produk Malaysia catat rekod RM652 juta



NANNING, China: Pavilion Malaysia pada Ekspo China-ASEAN Ke-16 (CAEXPO) 2019 berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM652 juta sepanjang tempoh tiga hari acara itu berlangsung.

Jumlah itu mengatasi rekod jualan tahun lepas iaitu RM640 juta.

Pengarah Pemasaran Eksport & Bahagian Akses Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Khairul Annuar Abdul Halim berkata jumlah itu dijangka akan meningkat pada hari terakhir hari ini.

“Sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM31.71 juta ditandatangani antara syarikat Malaysia dan pengimport China membabitkan produk durian, penjagaan kesihatan dan bayi.

“Pada tahun ini, makanan dan minuman memberi impak kukuh mengatasi kluster kesihatan dan kesejahteraan sebanyak RM357.77 juta berbanding RM218.91 juta pada 2018,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Mengulas lanjut, Khairul Annuar berkata kluster kesihatan dan kesejahteraan mencatatkan sebanyak RM131.23 juta, gaya hidup RM125.60 juta dan perkhidmatan RM50,000.

CAEXPO 2019 menyaksikan penyertaan sebanyak 167 syarikat melibatkan 151 perusahaan kecil dan sederhana.

MATRADE turut menganjurkan lebih 1000 sesi padanan perniagaan di CAEXPO antara syarikat Malaysia dan rakan dari China.

Pavilion Malaysia turut menerima dua anugerah pengiktirafan daripada penganjur untuk BestTrade and Economy Outcome dan BestTrade Visitor Organizer.

Ekspo itu yang dianjurkan setiap tahun di Nanning sejak 2004 ialah platform untuk menggalakkan kerjasama antara China dan ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Bagi Malaysia, jumlah perdagangan dua hala dengan China menunjukkan sedikit penurunan iaitu 4.1 peratus kepada RM43.01 bilion pada separuh pertama 2019 berbanding tempoh sama pada 2018 iaitu RM44.86 billion.





Source link

Related Posts