Uncategorized

CAEXPO 2019: Produk makanan Malaysia paling digemari pembeli China



NANNING: Sedap, berkualiti dan harga berpatutan antara reaksi pengguna China terhadap produk Malaysia yang dipamerkan di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2019 di Nanning.

Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, sejak hari pertama CAEXPO dibuka pada 21 September lalu, Astaka Malaysia menerima pelawat yang paling ramai disebabkan pengguna negara itu menggemari produk makanan yang hampir 70 peratus dipamerkan di astaka tersebut.

Rata-rata pengguna China mencari produk tempatan yang sukar didapati di negara mereka terutamanya produk berasaskan makanan dan minuman seperti durian, biskut, snek dan sebagainya.

Menurut salah seorang pembeli China, Deng Yan, ini kali kedua beliau datang CAEXPO terus mencari Astaka Malaysia untuk membeli barangan tempatan terutamanya makanan kerana harga yang murah serta rasa yang sedap.

“Tahun lepas saya dah datang, dan tahun ini saya datang lagi kerana terdapat banyak barangan yang bagus, murah dan lazat. Saya telah mencubanya dan mahu membeli dengan lebih banyak lagi,” katanya.

Bagi Meng Jian, beliau belum pernah ke Malaysia namun mendengar nama buah durian mendapat sambutan yang tinggi di China sekaligus mendorongnya untuk mencari ‘raja buah’ itu di Astaka Malaysia.

“Saya belum pernah ke Malaysia dan datang je Astaka ini untuk mencari buah durian yang segar untuk dibeli tetapi saya lihat lebih banyak produk berasaskan durian seperti ais krim dan saya rancang untuk datang lagi selepas ini untuk mencari durian segar,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Chen Jianwen yang pertama kali datang ke CAEXPO berpendapat produk Malaysia mempunyai kualiti yang baik serta mempamerkan keunikan yang tersendiri sekaligus membelinya dengan kuantiti yang banyak.

“Saya rasa produk Malaysia sangat bagus dan saya telah membelinya dengan banyak malah melebihi 1,000 yuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, bagi Tang Ronghe yang kedua kalinya telah menjejakkan kaki di CAEXPO berkata produk makanan Malaysia adalah yang terbaik berbanding 10 negara ASEAN yang lain kerana mempunyai rasa yang pelbagai.

“Saya telah datang ke CAEXPO untuk kali kedua tahun ini, ia sangat bagus kerana saya dapat mempelajari budaya tradisional dari negara lain dan saya paling menggemari makanan Malaysia kerana rasa yang unik serta saya juga ada tabiat suka makan,” jelasnya sambil tertawa kecil.





Source link

Related Posts