Uncategorized

CAEXPO 2019 turut tingkatkan ekonomi domestik



NANNING: Penyertaan syarikat Malaysia di Ekspo China ASEAN (CAEXPO) 2019 dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan ekonomi domestik.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking berkata, ia dapat menarik masyarakat China untuk datang ke Malaysia dan merasai sendiri produk keluaran negara.

“Kita bukan hanya menjual produk kita, tetapi mereka (masyarakat China) juga perlu datang ke Malaysia untuk menikmatinya di sana.

“Ini akan menjadikan hubungan perdagangan dengan China lebih baik. Dalam masa sama, membantu syarikat tempatan di peringkat domestik,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Astaka Malaysia dan ‘City of Charm’ di CAEXPO 2019 di sini pada Jumaat.

Melihat kepada potensi syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di CAEXPO 2019, Darell berkata semua pihak perlu memainkan peranan penting memberi semangat kepada mereka untuk menjual produk di Nanning.

“Media, rakan-rakan peniaga di Nanning serta pelajar Malaysia yang belajar di sini juga boleh tolong mempromosikan kepada masyarakat China mengenai produk Malaysia, kerana promosi kecil seperti ini juga dapat membantu.

“Syarikat sendiri juga boleh pergi ke sembilan astaka negara lain untuk melihat produk dan mengajak peniaga dari negara ASEAN lain datang ke astaka Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi MATRADE Tan Sri Halim Mohammad berkata, delegasi Malaysia ke CAEXPO 2019 mempunyai pasaran yang paling besar berbanding negara ASEAN lain, namun pihaknya terpaksa mengehadkan pengeksport kerana ruang yang tidak mencukupi.

“Program yang MATRADE lakukan ini kita hadkan satu pengeksport selama tiga tahun sahaja datang, dan apabila mereka sudah boleh berdiri dengan sendiri, kita akan bawa syarikat baru pula untuk diberi pendedahan pasaran China,” jelasnya.

Halim turut yakin peniaga Malaysia di CAEXPO 2019 tidak menghadapi rintangan yang besar untuk bersaing di pameran yang disertai sembilan buah negara ASEAN lain itu kerana kelebihan yang ada pada mereka.

“Apa yang penting, pengeksport kita mesti jaga kualiti, inovasikan produk supaya kita dapat terus bersaing dengan jenama produk dari negara lain yang masuk ke sini,” katanya.





Source link

Related Posts