Uncategorized

Cara Menjadi Tanam Anggur Dalam Pasu


Anggur, ramai beranggapan hanya sesuai tumbuh subur di negara beriklim sejuk. Hakikatnya, anggur adalah tanaman yang memerlukan iklim panas untuk subur dan cepat menghasilkan buah. Jika di tanam dalam iklim sejuk, pokok anggur ahanya mempunyai 1 musim dalam setahun. Namun dalam iklim panas di Malaysia, anggur berbuah adakalanya lebih dari 3 kali.

Yang lebih menarik, untuk tanam pokok anggur tidak semestinya memerlukan tanah yang luas. dalam pasu pun boleh. Berikut cara tanam pokok anggur dalam pasu yang WAJIB anda lakukan kalau nak hasil yang optimum.

1. PASU

Pohon anggur memerlukan pasu yang berukuran minimum 600mm x 600mm untuk menyokong tumbesarannya sehingga cukup usia matang. Jika pasu yang digunakan kurang dari saiz yang dicadangkan. Ia akan menyebabkan pohon anggur tidak produktif kerana akarnya terlalu padat dan mengganggu tumbesaran pokok.

2. SISTEM SOKONGAN

Untuk memudahkan kawalan pertumbuhan pohon anggur, anda perlu menyediakan struktur sokongan untuk batangnya menjalar. Untuk peringkat awal penanaman anak pokok, penggunaan batang pemancang daripada kayu atau buluh sudah memadai. Apabila kelihatan pohon anggur mula aktif membesar, penyediaan sebuah struktur khas seperti trellis atau pergola perlu disediakan.

3. PEMANGKASAN

Proses pemangkasan amat penting untuk tumbesaran pohon anggur. Selain itu ia mampu membentuk struktur rangka pohon anggur mengikut keperluan anda. Memangkas juga berupaya membantu pohon anggur untuk menghasilkan ranting yang baru. Dari ranting yang baru akan keluar bunga-bunga anggur yang akhirnya membentuk buah.

Pemangkasan boleh dilakukan apabila batang pohon anggur sudah cukup besar. Kebiasaannya waktu pemangkasan yang paling sesuai adalah apabila pohon angur mencapai usia 12 bulan. Cara-cara pemangkasan untuk menghasilkan buah yang berkualiti adalah:

  • Buang ranting yang berukuran kurang daripada saiz batang pensil
  • Buang ranting-ranting yang masih hijau, tunas muda atau pucuk muda
  • Buang dan perkemaskan daun-daun yang kelihatan kekuningan dan mula mengering
  • Buang ranting yang berpenyakit
  • Sediakan satu catatan tarikh pemangkasan, buah boleh dituai setelah usianya mencapai 105 hari dari tarikh pemangkasan

4. PENYIRAMAN

Pohon anggur memerlukan air yang banyak untuk tahun pertama penanaman. Namun, pastikan penyiraman yang dilakukan tidak menyebabkan air pada permukaan tanah bertakung. Siraman hanya perlu dilakukan pada bahagian pangkal pohon anggur sahaja bukan keseluruhan pokok.

5. PEMBAJAAN

Untuk pohon anggur, keperluan pembajaan berbeza mengikut usia pokok tersebut. Pembajaan boleh dilakukan apabila usia tanaman mencecah dua minggu kerana pada ketika itu, pohon anggur sudah mula stabil dengan kondisi medium pemasuan yang disediakan.

Baja organik dari tinja kambing amat digalakkan kerana ia mengandungi nutrien lengkap keperluan pohon anggur dari awal usia penanamannya. Tanam baja satu kaki dari pangkal pokok kerana dikhuatiri jika baja ditabur terus berhampiran dengan pangkal pokok, ia akan mengancam akar pokok.



Source link