Uncategorized

China komited bantu negara ASEAN capai ekonomi mampan



NANNING: China menyatakan komitmen yang tinggi untuk membantu negara-negara ASEAN untuk mengembangkan lagi ekonomi serantau melalui pasaran besar negara itu.

Menurut Naib Perdana Menteri China, Han Zheng, negara itu juga akan membuka lebih banyak ruang dalam pasaran supaya dapat mencipta lebih banyak peluang kepada negara-negara ASEAN.

Justeru Han Zheng menggariskan lima cadangan yang perlu diberi penekanan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan itu.

“Pertama mengukuhkan kualiti strategi, China akan bekerjasama dengan negara ASEAN melalui inisiatif Belt and Road yang sedang dibangunkan serta inisiatif komuniti ASEAN 2025.

“Kedua mengukuhkan protokol ekonomi dengan menaiktaraf Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN, kami akan menggunakan expo di China untuk meningkatkan perniagaan serta memudahkan aktiviti perdagangan sekaligus mencapai hasrat yang sama.

“Ketiga, mengukuhkan rangkaian dan meningkatkan rangkaian pengangkutan serantau seperti laluan keretapi, jumlah penerbangan, maritim dan keselamatan siber,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2019, di Nanning, China, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Han Zheng berkata mengukuhkan kerjasama antara China dan ASEAN juga menjadi cadangan keempat yang penting dalam meningkatkan hubungan perdagangan sedia ada.

“China akan mengembangkan lagi kerjasama dengan ASEAN melalui platform-platform E-commerce, rangkaian 5G dan sektor yang lain seperti pembangunan bandar pintar serta Kerjasama Ekonomi Biru (Blue Economic Partnership).

Tambah beliau, cadangan kelima pula untuk mengukuhkan sosio budaya dalam komuniti ASEAN sekaligus meningkatkan kerjasama secara terus antara negara.

“Sektor kebudayaan, sukan, kesihatan dan program latihan kepada pemimpin muda China ASEAN untuk menjalinkan kerjasama antara golongan belia kita,” jelasnya.

Terdahulu, Han Zheng berharap sempena dengan CAEXPO 2019, negara ASEAN dapat mengambil peluang menembusi pasaran China dengan lebih meluas serta menyokong inisiatif Belt and Road yang sedang dibangunkan negara itu.





Source link

Related Posts